33 KLINIK SWASTA IKUTI SKIM PERUBATAN MADANI BANTU KURANGKAN KESESAKAN HOSPITAL


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon, berkata skim tersebut memiliki keupayaan untuk membantu mengurangkan kesesakan di beberapa hospital di negeri ini. | Foto MDJ Sophie Razale.

 

ISKANDAR PUTERI — Sejumlah 33 Klinik Kesihatan Swasta di Negeri Johor yang berdaftar dalam Skim Perubatan MADANI dilihat memiliki keupayaan untuk membantu mengurangkan kesesakan di beberapa hospital di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon, berkata ia merupakan inisiatif daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi program ProtectHealth dalam memberi perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaik kepada rakyat.

 

“Ia merupakan satu (projek) percubaan yang dimulakan dengan membabitkan 10 daerah dahulu dan daerah pertama (untuk inisiatif ini) dimulakan di Johor Bahru kerana memiliki penduduk yang teramai manakala hospitalnya juga antara yang tersesak.

 

“Oleh itu, Johor Bahru dipilih sebagai tempat pertama untuk menjalankan program tersebut. Mudah-mudahan dengan program Skim Perubatan MADANI ini memberi (kemudahan rawatan) termasuk kad kesihatan kepada mereka yang menerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pengenalan Perubatan Nuklear di Hospital Gleneagles Medini Johor, di sini, semalam.

 

Jelas Tian Soon, penerima STR akan menerima manfaat daripada program tersebut seperti kemudahan mendapatkan rawatan bukan penyakit berjangkit.

 

“Kepada mereka yang menerima bantuan STR dapat terlibat dalam Skim Perubatan MADANI ini dan mereka boleh pergi ke klinik swasta yang berdaftar (dengan skim berkenaan),” katanya.

 

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Tian Soon berkata, Kes Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Johor menunjukkan trend penurunan.

 

“Saya menyeru kepada ibu bapa dan penjaga TASKA untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan turut memberikan nasihat kepada anak-anak untuk menjaga kebersihan diri,” katanya.

 

Terdahulu, laporan kesihatan pada 4 Jun lalu menunjukkan kes HFMD di Johor meningkat 1.3 kali ganda pada minggu epidemiologi ke 22, namun ia semakin berkurangan muktakhir ini.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor