EXCO KERAJAAN JOHOR SERTAI OPERASI BERSEPADU PANTAU PENGINAPAN PEKERJA ASING


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah yang turut serta dalam operasi bersepadu penguatkuasaan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), baru-baru ini. | Foto ihsan Facebook Hairi Md Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Lebih 50 pegawai dan anggota daripada pelbagai jabatan dan agensi terlibat dalam operasi bersepadu ke atas penginapan pekerja warga asing di Kulai.

 

Operasi dikendalikan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

 

Mohd Hairi berkata, operasi bersepadu itu berkenaan penguatkuasaan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

 

“Operasi di kawasan Indahpura, Kulai malam tadi turut membabitkan kekuatan lebih 50 anggota terdiri daripada agensi seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kesihatan, Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

“Operasi Bersepadu Akta 446 ini antara lain dibuat bagi memastikan majikan-majikan dapat mematuhi serta menyediakan premis penginapan yang dibenarkan untuk dijadikan tempat tinggal atau asrama pekerja,” katanya dalam Facebook rasminya, pada Rabu.

 

Turut hadir dalam operasi berkenaan adalah Hadir sama dalam operasi ialah Pengarah JTK Negeri Johor, Mohd Azmi Muhammud dan Yang Dipertua MPKu, Fahmi Salam.

 

Terdahulu, Media Digital Johor melaporkan kenyataan Mohd Hairi yang memaklumkan JTK Negeri Johor sentiasa mengambil serius isu penginapan pekerja asing sebelum ini.

 

Beliau turut menggesa majikan mematuhi Akta 446 yang telah menggariskan kriteria perlu diambil kira berkaitan penempatan pekerja agar tidak melanggar peraturan dan undang-undang.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor