BOMBA SELAMATKAN WARGA EMAS TERPERANGKAP BANJIR KILAT


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor berjaya menyelamat seorang wanita warga emas yang terperangkap dalam banjir kilat di Kampung Melayu Majidee / Gambar Ihsan JBPM Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berjaya menyelamatkan seorang wanita warga emas yang dipercayai terperangkap di kediamannya yang dilanda banjir kilat, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penolong Penguasa Bomba Shamsul Khomari Bakar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu kira-kira jam 3.45 petang.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan banjir menerusi talian Mers999 pada jam 3.45 petang yang beralamat di Jalan Hujung Kampung Melayu Majidee.

“Susulan itu, satu pasukan yang diketuai Penolong Bomba Kanan II Sharil Sapar bersama enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dengan menggunakan sebuah jentera ‘fire rescue tender’ (FRT),” katanya dalam kenyataan kepada Media Digital Johor (MDJ).

Shamsul Khomari berkata, setibanya di lokasi terbabit, pihak JBPM Johor mendapati kawasan terbabit dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat melanda kawasan terbabit sebelum ini.

“Pihak bomba juga mendapati terdapat seorang wanita berusia 63 tahun terperangkap di dalam rumahnya yang turut dilanda banjir kilat.

“Anggota bomba kemudiannya bertindak memberi bantuan dan berjaya mengeluarkan wanita berkenaan sebelum ke rumah saudaranya,” katanya.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang remaja lelaki maut selepas terjatuh di dalam longkang di Jalan Mahkota 7, Taman Ungku Aminah, Skudai, Petang tadi.

Ketua BBP Skudai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohamad Riduan Akhyar, berkata pihak PGO menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 4.01 petang tadi menerusi Mers999.

“Susulan kejadian itu, enam anggota yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Faisal Ismail dengan menggunakan sebuah kenderaan FRT, sebuah ambulan bomba (ERMS), sebuah pacuan empat roda dan sebuah bot digegaskan ke lokasi berkenaan.

“Setibanya di lokasi, pihak bomba mendapati seorang remaja lelaki berusia 13 tahun terjatuh ke dalam longkang dan pasukan penyelamat kemudiannya menggunakan tali untuk turun ke dalam pembentung yang mana kedudukan mangsa tersekat,” katanya kepada MDJ menerusi kenyataan.

Shamsul Khomari berkata, mangsa kemudian berjaya dibawa naik ke kawasan selamat dan pihak bomba turut melakukan pertolongan cemas (CPR) sementara menunggu kedatangan pasukan kesihatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Petugas KKM sejurus kemudian dan mayat remaja lelaki berkenaan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor