397 KELUARGA TERIMA BWI RM1,000 FASA PERTAMA MDYP


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, merangkap ADUN Yong Peng, Ling Tian Soon mengagihkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada keluarga mangsa banjir di PPS. | Sumber foto: Ah Soon.

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 397 ketua isi rumah (KIR) yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) ketika banjir melanda Yong Peng baru-baru ini telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 bagi fasa pertama yang telah diagihkan menerusi Majlis Daerah Yong Peng (MDYP), hari ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon juga ADUN Yong Peng berkata bantuan berkenaan diserahkan kepada mangsa banjir yang berada di PPS Baitul Islah, SMK Dato’ Seth, SK Taman Seri Kota, SA Seri Kota dan Yong Peng High School.

 

“BWI ini seterusnya akan diserahkan kepada 438 keluarga yang berada di PPS SJK(C) Yong Peng 1, SJK(C) Lam Lee dan SK Seri Bertam.

 

“Kerajaan Negeri Johor amat prihatin dan telah mengarahkan kerajaan tempatan di kawasan masing-masing untuk segera mengagihkan bantuan berkenaan,” katanya menerusi kenyataan dalam Facebook rasmi beliau pagi tadi.

 

Beliau berkata, terdapat juga mangsa banjir yang tidak berpindah ke PPS dan keluarga terbabit boleh mengisi borang menerusi pautan https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=228243736384113&id=100075954651827&mibextid=Nif5oz berserta dokumen sokongan.

 

Untuk rekod, Batu Pahat menjadi daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa mencecah sehingga 40,000 dan jumlah berkenaan tidak termasuk mangsa banjir yang tidak berpindah ke PPS.

 

Selain itu, Kerajaan Persekutuan turut mengumumkan pemberian peruntukan berjumlah RM6 juta kepada negeri Johor sebagai bantuan bagi pelaksanaan kerja-kerja mengurus semasa banjir dan pasca banjir.

 

”Satu mesyuarat penyelarasan bersama wakil kerajaan tempatan bagi menyegerakan proses pembersihan rumah akibat bencana banjir serta agihan bantuan telah pun dipengerusikan oleh Menteri Besar, YAB Datuk Onn Hafiz bin Ghazi bagi memudahkan urusan mangsa banjir sepanjang bulan Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor