BRAJ@BATU ANAM TERIMA SAMBUTAN MENGGALAKKAN


Program yang menyediakan kemudahan dan saluran pasaran pilihan pengguna untuk mendapatkan bekalan bahan makanan serta keperluan harian itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada rakyat. | Foto ihsan FB Dato’ Zahari Sarip

 

ISKANDAR PUTERI — Penganjuran Bazar Rakyat Agro Johor (BRAJ) diteruskan ke Segamat sebagai usaha Kerajaan membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui penawaran harga berpatutan bagi komoditi terpilih.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip berkata, BRAJ di Segamat yang merupakan siri ke-29 telah dianjurkan di perkarangan Medan Selera, segitiga Batu Anam.

 

Menurutnya, program yang menyediakan kemudahan dan saluran pasaran pilihan pengguna untuk mendapatkan bekalan bahan makanan serta keperluan harian itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada rakyat.

 

“Alhamdulillah Program BRAJ pada pagi ini di perkarangan Medan Selera, Segitiga Batu Anam, Segamat mendapat sambutan yang sangat menggalakkan sejak awal pagi lagi dan untuk rekod ia merupakan siri yang ke-29 bagi program BRAJ di seluruh negeri Johor tahun ini.

 

“Program bermula jam 8 pagi dengan pelbagai jenis jualan seperti ayam, daging, telur ayam, minyak masak, sayur-sayuran, buah-buahan dan sebagainya yang menawarkan potongan harga promosi dan istimewa bagi pengunjung yang hadir,” kata beliau di Facebook rasminya, pada Selasa.

 

Zahari menzahirkan penghargaan kepada pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) atas penganjuran program berkenaan.

 

“Terima kasih kepada Pengarah FAMA Negeri Johor, para pegawai FAMA negeri dan daerah serta para usahawan yang komited dalam menjayakan program BRAJ di lokasi-lokasi ini,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor