KERAJAAN JOHOR ZAHIR KEYAKINAN TERHADAP ISKANDAR MALAYSIA STUDIOS


Menteri Besar Johor menerima kunjungan delegasi IMS Sdn. Bhd. di mana pelbagai perancangan dan hala tuju IMS dibincangkan bagi memastikan kemajuan industri perfileman dan kreatif terutama di Iskandar Puteri. | Foto ihsan FB Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri yakin kemampuan dan prasarana lengkap Iskandar Malaysia Studios (IMS) mampu mempromosikan Johor sebagai antara lokasi pengambaran terbaik di Asia serta bertaraf dunia.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, hasrat tersebut mampu direalisasikan dengan usaha dan kerjasama daripada semua pihak.

“Ekosistem industri perfileman dan kreatif di Johor perlu dirancakkan, agar mampu menarik lebih ramai produksi ke IMS untuk menghasilkan filem atau drama bertaraf antarabangsa di Johor,” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Selasa.

Terdahulu, Menteri Besar Johor menerima kunjungan delegasi IMS Sdn. Bhd. di mana pelbagai perancangan dan hala tuju IMS dibincangkan bagi memastikan kemajuan industri perfileman dan kreatif terutama di Iskandar Puteri.

Onn Hafiz menzahirkan harapan semoga industri perfileman dan kreatif di IMS mampu meningkatkan peluang pekerjaan serta merancakkan lagi sektor pelancongan dan mempromosikan Johor di mata dunia.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han; Ketua Pegawai Eksekutif IMS Sdn. Bhd., Rashid Karim; Naib Presiden Ekonomi dan Pelaburan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Aidah Ahmad Adzmi serta Ketua Pembangunan dan Perniagaan IMS Sdn. Bhd., Catherine Lee.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor