JOHOR BERPOTENSI JADI HAB PERKEMBANGAN TEKNOLOGI WILAYAH SELATAN


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh mengadakan lawatan kerja ke Digital Penang.

 

ISKANDAR PUTERI — Johor mempunyai potensi besar menjadi hab perkembangan teknologi bagi Wilayah Selatan Semenanjung.

 

Perkara itu dizahirkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh susulan lawatan kerjanya ke Digital Penang, syarikat berkaitan kerajaan milik Kerajaan Pulau Pinang.

 

“Hari ini saya mengambil kesempatan untuk mengadakan lawatan kerja ke Digital Penang, yang memainkan peranan besar dalam menjayakan Pelan Induk Transformasi Digital Pulau Pinang.

 

“Pelbagai inisiatif digerakkan dalam membina ekosistem digital kepada masyarakat termasuk memperkasa syarikat-syarikat pemula (Start-Up) berasaskan teknologi.

 

“Jika Pulau Pinang menjadi destinasi inovasi dan perkembangan teknologi di Wilayah Utara, Johor mempunyai potensi besar menjadi hub perkembangan teknologi bagi Wilayah Selatan Semenanjung,” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Isnin.

 

Norlizah berkata, kedudukan geografi strategik Johor selain modal insan berkualiti dan infrastruktur yang baik akan membantu negeri ini, menjadi rumah bagi syarikat-syarikat berteraskan teknologi untuk berkembang.

 

“Pelbagai perkongsian yang dijalankan oleh pihak Digital Penang untuk diteladani selain melaksanakan kerjasama pintar dalam mengembangkan ekosistem digital di negeri Johor,” katanya.

 

Terdahulu, beliau bersama delegasi Johor menerima taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Digital Penang, Ts. Ng Kwang Ming dan Pengarah Pembangunan Ekosistem Digital Penang, Cseng Lim dalam lawatan kerja berkenaan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor