BUBUR LAMBUK PENGERAT SILATURAHIM, KEAKRABAN


Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr Hj Azmi Rohani hari ini menyempurnakan Program Pengagihan Bubur Lambuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (SUKJ) bersama Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Negeri Johor, Puan Sri Datin Dr Noor Azizah Abdul Latiff.

 

 

ISKANDAR PUTERI — Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr Azmi Rohani hari ini menyempurnakan Program Pengagihan Bubur Lambuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (SUKJ) di perkarangan Kabin Pemandu, C1S Kota Iskandar di sini.

 

Turut hadir ialah isteri beliau yang juga Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Negeri Johor, Puan Sri Datin Dr Noor Azizah Abdul Latiff.

 

Pada program itu, beliau turut mengambil kesempatan beramah mesra dengan pegawai dan kakitangan jabatan, agensi dibawah naungan SUKJ serta turut meluangkan masa memasak bubur lambuk.

 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Pejabat SUK Bahagian Pejabat Pengurusan khususnya kelab kebajikan kakitangan dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang membantu dari segi keperluan barang-barang dan juga tenaga, dan tidak lupa juga kepada PUSPANITA dalam menjayakan program kali ini.

 

“Apa yang penting bagi saya ialah menerusi program ini kita dapat melihat terhasilnya keakraban dan hubungan silaturahim yang mesra dalam kalangan penjawat awam di Johor tanpa memilih pangkat dan kedudukan.

 

“Selain daripada kita dapat beramal dengan menyediakan juadah bubur lambuk ini, ia juga secara tidak langsung memupuk suasana semangat kerjasama, semangat tolong menolong antara satu sama lain. Itulah antara matlamat yang tersirat (dalam program ini) yang membuatkan saya berasa bangga dan gembira pada hari ini,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Digital Johor pada Program Pengagihan Bubur Lambuk Pejabat SUKJ bersama MAINJ dan PUSPANITA Cawangan Negeri Johor di sini, hari ini.

 

Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohamed Ridha Dato’ Abdul Kadir; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Mohd Noh Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pemantauan Projek dan Kesejahteraan Rakyat) Shubanah Yusuf.

 

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Ismail Abu dan Setiausaha Bahagian ICT@Johor, Ungku Suzana Ungku Mohammad.

 

Kira-kira 2,000 bungkus bubur lambuk berjaya dihasilkan secara gotong royong sebelum diagihkan kepada kakitangan awam Johor, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan asnaf dan penduduk di kawasan Rumah Pangsa Taman Molek dan Larkin.

 

Beliau berkata, menerusi acara yang diadakan pada bulan Ramadan setiap tahun itu secara tidak langsung memperkasakan muafakat dalam kalangan penjawat awam di negeri ini.

 

“Sepanjang tujuh tahun saya menjadi SUK, saya nampak semangat kita sebagai satu keluarga di bawah satu organisasi, di bawah satu naungan yang sama, kita bekerjasama dalam memberi amal dan bantuan kepada kumpulan-kumpulan tertentu,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor