JKNJ PERIKSA 3,429 PREMIS BAZAR RAMADAN


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon melakukan Walkabout dan Lawatan Ke Bazar Ramadan Pasar S’MART Pandan, di sini, hari ini.

 

JOHOR BAHRU — Sebanyak 3,429 premis bazar Ramadan di negeri ini, diperiksa Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sehingga semalam (5 April).

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, daripada pemeriksaan dibuat, sebanyak 152 Notis 32B di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dikeluarkan ke atas pengusaha premis dengan tawaran kompaun berjumlah RM26,800.

 

Selain itu, menurutnya, terdapat dua premis diarahkan untuk ditutup tidak lebih daripada 14 hari bagi tujuan pembersihan kerana pengendalian makanan yang didapati gagal mematuhi peraturan.

 

“Bukan itu sahaja, sehingga semalam, ada dua aduan (keselamatan dan kualiti makanan) diterima JKNJ melalui kod QR.

 

“Kita belum mendapat keputusan setelah sampel (makanan) diambil, (dan) sedang membuat siasatan. Jika sudah mendapat keputusan, kita akan mengambil tindakan yang selanjutnya,” katanya kepada pemberita ketika Program Walkabout dan Lawatan Ke Bazar Ramadan Pasar S’MART Pandan, di sini, hari ini.

 

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dato’ Dr. Aman Rabu.

 

Tiang Soon turut memaklumkan sebanyak 84 produk makanan disita atas kesalahan menjual makanan melepasi tarikh luput, tin mengalami kemek atau pembungkus yang rosak atau bocor, hasil pemantauan di pasaraya.

 

Mengenai Walkabout dan Lawatan Ke Bazar Ramadan, beliau memberitahu program tersebut bertujuan meningkatkan promosi keselamatan makanan selain memberikan pendidikan kesihatan secara berterusan kepada pengusaha, pengendali makanan dan pengguna.

 

Selain itu, program dianjurkan turut memberikan panduan dan tip keselamatan makanan selain mengedarkan kod QR bagi membolehkan pengguna menyalurkan aduan sekiranya was-was dengan status keselamatan makanan dijual di bazar Ramadan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor