CADANG NIGHT SAFARI DI ZOO JOHOR
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri akan memperhalusi cadangan bagi melaksanakan pengoperasian ‘night safari’ sebagai daya tarikan baharu di Zoo Johor menerusi fasa kedua projek menaik taraf taman haiwan berkenaan yang akan dilaksanakan mulai tahun depan.
Cadangan supaya Zoo Johor melanjutkan operasi sehingga waktu malam itu akan diteliti terlebih dahulu dengan mengambil kira beberapa faktor seperti keselamatan, pencahayaan serta aksesibiliti bagi laluan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas agar taman haiwan berkenaan lebih mesra pengunjung jika ia beroperasi pada waktu itu.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyasarkan kemasukan seramai 1 juta pelancong ke Zoo Johor pada tahun hadapan berikutan sambutan memberangsangkan yang diterima sejak ia dibuka semula kepada umum pada 31 Ogos lalu.
Pembukaan semula Zoo Johor telah dijayakan secara bersama oleh pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab memastikan kelancaran kerja menaik taraf zoo yang sehingga kini telah berjaya menarik seramai 500,000 pengunjung.
Sejumlah RM5 juta telah diperuntukkan Kerajaan Negeri di dalam Belanjawan Johor 2025 bagi melaksanakan projek fasa kedua menaik taraf Zoo Johor, sekali gus menterjemah usaha dalam mempergiat persiapan Tahun Melawat Johor 2026 dengan sasaran kemasukan 12 juta pelancong ke negeri ini.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menjawab pertanyaan berhubung usaha Kerajaan Negeri memperhebat promosi sektor pelancongan secara bersekali pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2025) bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor