CADANG TUBUHKAN JOHOR TALENT DEVELOPMENT COUNCIL


Kerajaan Negeri cadang wujudkan Johor Talent Development Council. | Foto MDJ Imran Razib

 

Menjelang pemeteraian perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) tidak lama lagi, Kerajaan Negeri mencadangkan penubuhan Johor Talent Development Council untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan bagi memenuhi 100,000 peluang pekerjaan yang bakal wujud di zon khas berkenaan.

 

Cadangan penubuhan berkenaan telah dipanjangkan kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di mana Johor Talent Development Council akan diterajui oleh kementerian tersebut selaku sekretariat selain dianggotai oleh jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

 

Perkara tersebut dimaklumkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor ketika berucap pada Majlis Perasmian Minggu Latihan Kebangsaan (NTW 2024) di Kolej Universiti Selatan anjuran KESUMA menerusi Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), hari ini.

 

NTW 2024 menjadi medan mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat dan melengkapkan kemahiran rakyat malah Kerajaan Negeri bersedia menjalinkan hubungan strategik dengan HRD Corp dalam menyediakan platform ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ tenaga kerja tempatan bagi menghadapi cabaran apabila JS-SEZ dilaksanakan.

 

Pemilihan Negeri Johor sebagai tuan rumah penganjuran NTW 2024 mencerminkan kepesatan pembangunan ekonomi negeri yang memerlukan bakat berkemahiran tinggi menjelang pelaksanaan zon khas itu selain menggambarkan keunikan perpaduan Bangsa Johor yang tidak dimiliki oleh negeri-negeri lain.

 

Turut hadir, YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Ketua Setiausaha KESUMA selaku wakil rasmi Menteri Sumber Manusia; YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor serta YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor