CHE’ PUAN BESAR BERANGKAT KE RKK MINI ULU TIRAM, TASKA ANAK PERMATA CERIA


YAM Che’ Puan Besar Khaleeda Binti Bustamam hari ini berangkat ke Rumah Kanak-Kanak Mini Ulu Tiram dan Taska Permata Ceria Menara MBJB / Gambar Ihsan Khairin Nisa’ Ismail.

 

ISKANDAR PUTERI — YAM Che’ Puan Besar Khaleeda Binti Bustamam hari ini berangkat ke Rumah Kanak-Kanak (RKK) Mini Ulu Tiram dan Taska Anak Permata Ceria Menara MBJB.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin Nisa’ Ismail, berkata pada keberangkatan itu YAM Che’ Puan Besar Khaleeda turut mengurniakan hadiah kepada kanak-kanak di kedua-dua lokasi berkenaan yang secara tidak langsung turut memberikan sinar keceriaan dan kegembiraan kepada kanak-kanak berkenaan.

Katanya, RKK Mini Ulu Tiram ini menempatkan kanak-kanak perempuan berusia bawah 18 tahun dengan kapasiti 29 orang ini telah diwartakan sebagai ‘Tempat Selamat’ mengikut Sekyen 54(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Mereka yang berlindung di sini adalah disebabkan didera oleh ibu bapa dari segi fizikal, emosi, penganiayaan seks, ketiadaan ibu bapa, dibuang keluarga dan terbabit dengan pengemisan.

“RKK Mini Ulu Tiram ini juga pernah menerima peruntukan sebanyak RM91,916 daripada Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ),” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook rasminya, hari ini.

Hadir sama ialah Isteri Menteri Besar Johor, Datin Sharmin Fazlina Mohd Shukor; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor, Mohamad Hapil dan Timbalan Pengarah JKM Johor, Muzairiah Bajuri.

Turut hadir ialah Pegawai Turus D11 PDRM, Asisten Superintendan Er Sheau Jia dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kanak-Kanak dan Perintah Khidmat, Normawarni Mahat.

Khairin Nisa’ yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom berkata, YAM Che Puan Besar Khaleeda turut berkenaan berangkat ke Taska Anak Permata Ceria Menara MBJB.

“Taska Anak Permata Ceria Menara MBJB pula menempatkan seramai 16 murid yang merupakan Program Asuhan dan Didikan Awal kepada Kanak-Kanak di bawah umur empat tahun. Taska ini juga memfokuskan kemahiran urus diri dan mempunyai modul yang bersesuaian mengikut umur.

” Selain itu, taska ini juga mementingkan 6 komponen dalam bidang pelajaran iaitu, Perkembangan Sahsiah dan Kerohanian, Perkembangan Fizikal, Perkembangan Komunikasi dan Bahasa, Perkembangan Awal Matematik dan Pemikiran Logik, Perkembanagan Deria dan Pemahaman Dunia Persekitaran, dan Perkembangan Kreativiti,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor