KERAJAAN NEGERI PASTI SISTEM KESIHATAN TIDAK TERGANGGU


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pelepasan Southern Volunteeers Konvoi Pasca Banjir Negeri Johor. | Foto oleh Nurul Asyiqin Jalil.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor komited memastikan sistem perkhidmatan kesihatan kepada rakyat tidak terganggu susulan kejadian banjir di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, terdapat 24 fasiliti kesihatan dikenalpasti terjejas sebelum ini.

 

Menurut beliau, kesemua fasiliti tersebut terdiri daripada klinik kesihatan dan klinik desa di daerah yang mengalami banjir.

 

“Kita sedang memantau lagi keadaan tersebut dan kita cuba untuk buat susunan yang lebih teratur supaya tidak mengganggu sistem kesihatan kita.

 

“Kalau mereka (rakyat) perlu rawatan yang lebih lanjut, kita akan rujuk mereka kepada klinik kesihatan yang berdekatan ataupun ke hospital,” kata beliau kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pelepasan Southern Volunteers Konvoi Pasca Banjir Negeri Johor di Kota Iskandar, di sini, hari ini.

 

Mengenai aduan kualiti makanan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Tian Soon berkata, isu yang dibangkit itu dianggap sebagai selesai.

 

Ujar beliau, beberapa pendekatan telah dilakukan bagi mengatasi perkara tersebut antaranya menyediakan sajian secara bergotong royong.

 

“Ada beberapa kontraktor (penyedia makanan) telah ditukar dan ada yang dinasihati supaya menambahbaik kualiti makanan mereka. Oleh itu, masalah tersebut boleh dikirakan telah selesai,” katanya.

 

Selain itu, Tian Soon turut menyeru kepada mangsa banjir supaya menjaga kebersihan dan kesihatan diri masing-masing.

 

“Setiap PPS, kita akan adakan stesen kesihatan untuk kita letakkan doktor dan jururawat di situ, untuk menjaga kesihatan mereka,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor