CUACA PANAS : SYAWAL DIRAI, KESIHATAN DIUTAMAKAN


Dengan keadaan El Nino yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga suku kedua tahun ini, kawasan bandar seperti Johor Bahru juga tidak terkecuali mengalami kesan ‘pulau haba’ yang memberikan ancaman kesihatan.

Oleh Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip

 

Beberapa hari lagi umat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia akan menyambut Aidilfitri dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran sebagai tanda meraikan kemenangan selepas menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan.

 

Bagaimanapun, dalam keseronokan meraikan lebaran, sentiasa jaga kesihatan diri sendiri dan keluarga memandangkan pada ketika ini, negara dilanda cuaca panas luar biasa yang dirasai sejak beberapa bulan lalu hingga kini.

 

Ancaman strok haba ketika ini tidak boleh dipandang remeh. Dengan keadaan El Nino yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga suku kedua tahun ini, kawasan bandar seperti Johor Bahru juga tidak terkecuali mengalami kesan ‘pulau haba’ yang memberikan ancaman kesihatan.

 

Selain itu, merujuk kepada laman web METMalaysia, fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 29 Mac lalu dan berterusan sehingga Mei 2024 menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2023/24 juga menyebabkan keadaan cuaca tidak menentu.

 

Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip, Pensyarah Kanan, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai.

 

Justeru, masyarakat terutama umat Islam yang menyambut Aidilfitri turut akan terkesan dengan cuaca tidak menentu dan sewajarnya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian tidak diingini terhadap diri dan keluarga.

 

Sentiasa cakna agar tidak berlaku kejadian kekejangan, pitam, pengsan, strok haba atau mungkin mudarat yang lebih teruk semasa cuaca panas di negara ini, khusus ketika sambutan raya aidilfitri dijangka diraikan bermula pada 10 April ini.

 

Amati gejala kepanasan seperti pening kepala, peningkatan denyutan jantung atau rasa pening. Jika ada tanda-tanda kepanasan atau kesan yang tidak diingini, segera cari perlindungan dan bantuan perubatan yang berdekatan jika perlu.

 

Penting bagi masyarakat untuk sentiasa minum air secukupnya bagi mengelakan dehidrasi di samping memastikan diri berserta keluarga masing-masing tidak terdedah kepada sinaran matahari secara langsung ketika Aidilfitri kali ini.

 

Selain itu, pemilihan pemakaian pakaian yang betul juga memainkan peranan amat penting seperti fabrik kain bersesuaian seperti berwarna cerah dan longgar untuk pengaliran udara merupakan langkah yang bijak pada ketika ini.

 

Bagaimanapun, tindakan terbaik adalah hindari diri daripada sebarang aktiviti ketika cuaca berada pada suhu paling tinggi dengan mengehadkan pergerakan luar seterusnya manfaatkan tempoh masa berkualiti ini dengan mengeratkan silaturahim bersama keluarga tersayang di rumah.

 

Secara tuntasnya, aktiviti kunjung mengunjung rumah sanak saudara dan rakan taulan masih tetap boleh dilakukan bagi menyemarakkan kehadiran Syawal pada sebelah petang dan malam di mana keadaan suhu pada ketika ini kian mereda.

 

(Penulis adalah Pensyarah Kanan di Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia Skudai)

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor