KERAJAAN NEGERI SEDIA BAS PERCUMA BAWA MAHASISWA JOHOR PULANG BERAYA


Mahasiswa anak Johor diraikan pada Majlis Iftar Perdana Gabungan Mahasiswa Anak Johor Kebangsaan, hari ini. | Foto MDJ Dania Farisya

 

Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi menyediakan lebih 23 bas yang memberi manfaat kepada 1,000 mahasiswa anak Johor di perantauan pulang sempena Aidilfitri tahun ini.

 

Program Jom Balik Raya inisiatif Kerajaan Negeri pimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor itu menyediakan bas secara percuma kepada penuntut di 11 institusi pendidikan tinggi (IPT) awam seluruh negara.

 

Inisiatif bermula 29 Mac hingga 6 April 2024 itu merupakan kerjasama antara Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Gabungan Anak Johor dan Persatuan Mahasiswa Anak Johor di IPT terlibat.

 

Bertujuan memastikan mahasiswa anak Johor dapat pulang dengan selesa selain meringankan beban kos tambang yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri, program berkenaan akan diteruskan pada tahun-tahun mendatang.

 

Terdahulu, YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menyambut kepulangan penuntut dari perantauan yang seterusnya diraikan dalam Majlis Iftar Perdana Gabungan Mahasiswa Anak Johor Kebangsaan, hari ini.

 

Turut hadir, YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor; YBrs. Suhairi Hashim, Pengurus Besar YPJ serta YBrs. Afirul Idris Ayub Khan, Presiden Gabungan Mahasiswa Anak Johor Kebangsaan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor