DELEGASI JOHOR BERI SOKONGAN KEPADA ATLET DI KEMBOJA


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah hadir memberikan sokongan kepada atlet Johor dan kontinjen Malaysia amnya di Kemboja. | Foto ihsan Facebook Hairi Md Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Atlet Johor dalam Sukan SEA 2023 di Kemboja memberikan sumbangan signifikan dengan meraih pingat buat kontinjen Malaysia dalam temasya tersebut.

 

Hadir memberikan sokongan kepada atlet Johor dan kontinjen Malaysia amnya di Kemboja adalah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

 

Turut bersamanya, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Dato’ ‘On Jabbar dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Ts. Mohd Ekmaluddin Ishak.

 

Terdahulu, beliau bersama delegasi Johor meninjau persiapan pasukan Lumba Bot Tradisional Lelaki bagi acara akhir 800M 12 Kru B24 di Bandar Kampot, Prek Kampot, semalam.

 

“Alhamdulillah, pasukan yang majoritinya atlet dari Johor ini berjaya membawa pulang pingat Gangsa untuk Malaysia. Tahniah dan syabas semua!,” katanya dalam Facebook rasminya.

 

Mohd Hairi berkata, delegasi Johor kemudiannya menuju ke Stadium Nasional Morodok Techo di Phnom Penh, bagi menyaksikan pasukan Hoki Lelaki dan Wanita negara yang beraksi dalam pentas akhir.

 

“Lebih manis lagi apabila Pasukan Hoki Lelaki negara menepati ramalan dengan menumpaskan pasukan Singapura bagi membawa pulang Emas. Syabas Alfarico Lance Liau Jr dari Johor yang bersama dalam Team Hoki Lelaki Negara!

 

“Pasukan Hoki Wanita pula tidak kurang hebatnya selepas berjaya menewaskan Pasukan Thailand 4-1 bagi menghadiahkan Emas terakhir buat Malaysia. Syabas dan tahniah!,” katanya.

 

Turut bersama di Stadium Nasional Morodok Techo adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim dan Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim.

 

Kontinjen Malaysia berjaya mengutip keseluruhan 175 pingat terdiri daripada 34 emas, 45 perak dan 96 gangsa dalam temasya Sukan SEA edisi kali ini.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor