KERAJAAN NEGERI SEGERA TANGANI ISU FLAT DAIF DI NEGERI JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor telah melaksanakan tinjauan di Flat Taman Tun Aminah, semalam. | Foto ihsan Facebook Mohd Jafni Md Shukor

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri menjunjung kasih atas titah DYMM Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar untuk mengambil perhatian dalam isu perumahan flat kos rendah yang daif di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, berkata susulan itu pihaknya telah melaksanakan tinjauan di Flat Taman Tun Aminah, di sini, petang semalam.

 

“Flat ini mempunyai 44 blok dengan jumlah penduduk seramai 4,089 orang dan (binaannya) juga telah berusia hampir 40 tahun.

 

“Keadaan blok yang uzur dan sistem pendawaian elektrik serta sistem paip yang telah usang akan diberi keutamaan untuk diperbaiki segera,” katanya dalam hantaran di laman sosial Facebook rasminya, hari ini.

 

Hadir sama dalam tinjauan tersebut ialah Datuk Bandar MBIP, Dato’ Mohd Haffiz Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim.

 

Sementara itu, Mohd Jafni berkata, pihak Kerajaan Negeri Johor telah mengambil inisiatif dengan membentuk sebuah ‘taskforce’ khas di bawah penyeliaan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) untuk mengenal pasti isu di kediaman strata tersebut.

 

Katanya, mesyuarat ‘taskforce’ khas itu yang melibatkan agensi negeri dan pusat turut diadakan pagi tadi bagi mengambil pendekatan paling kondusif mengikut keutamaan bagi menyelesaikan isu-isu tersebut.

 

“Selain kerja baik pulih dan kebersihan, keberkesanan fungsi Jawatankuasa Penduduk (flat berkenaan) juga akan diberi perhatian agar kutipan yuran penyelenggaraan dapat diterima secara maksima.

 

“Kerajaan Negeri juga memohon peruntukan khusus kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk projek baik pulih flat ini demi kesejahteraan rakyat,” ujar EXCO Kerajaan Tempatan Negeri Johor itu.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor