PENGANGKUTAN AWAM PILIHAN UTAMA MENJELANG 2025


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri akan memastikan pengangkutan awam menjadi pilihan utama di Johor menjelang tahun 2025, dengan adanya projek mega dan pelan perancangan pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, Pelan Induk Pengangkutan Johor dibuat oleh Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) akan menjadi rujukan utama dalam pembangunan pengangkutan awam di negeri ini.

Menurutnya, pelan induk itu akan memastikan kesalinghubungan, mobiliti dan akses kepada pelbagai mod pengangkutan awam.

“Pihak PAJ akan menjadi agensi pusat perkhidmatan nasihat dan konsultasi kepada semua agensi dan pihak berkuasa di Johor dalam memantau kualiti perkhidatan, mengurus pembangunan dan menangani isu-isu yang berkaitan dengan pengangkutan awam supaya sektor pengangkutan awam di Negeri Johor dapat berjalan dengan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Bukit Batu, Chiong Sen Sern pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Sen Sern sebelum itu bertanya sama ada kerajaan negeri mempunyai hasrat dan pelan jangka panjang untuk mengembangkan rangkaian pengangkutan awam di Negeri Johor.

Mohamad Fazli berkata, pengangkutan awam di Johor sedang berkembang dengan pelan perancangan pembangunan yang akan dilaksanakan dalam beberapa tahun mendatang.

Ujarnya, selain program Bas Muafakat Johor (BMJ) yang telah dilaksanakan sejak 2016, program Bus Rapid Transit (BRT), projek Laluan Rel Berkembar dan projek Rapit Transit System (RTS) juga dilihat akan mengubah mod pengangkutan di Johor khususnya kawasan Iskandar Malaysia.

“Kerajaan negeri melalui PAJ akan memastikan projek-projek pengangkutan awam di Johor saling melengkapi. BMJ sendiri akan menjadi sistem sokongan utama kepada sistem-sistem pengangkutan awam yang akan dibangunkan pada masa akan datang.

“BMJ akan menjadi nadi kebolehsampaian penduduk yang berada di luar sistem pengangkutan tersebut untuk menggunakan sistem-sistem pengangkutan ini,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor