PENJAWAT AWAM, PEMAIN INDUSTRI DIJEMPUT SERTAI JSCF 2023


Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani menjemput semua penjawat awam dan pemain industri di dalam Negeri Johor untuk menyertai JSCF 2023.

 

ISKANDAR PUTERI — Penjawat awam dan pemain industri menyertai Forum Bandar Pintar Johor (JSCF) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor yang bermula esok hingga 14 Jun ini.

 

Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani berkata, program julung kali diadakan itu menjadi platform untuk menggariskan rancangan Kerajaan Johor melaksanakan transformasi digital melalui Pelan Tindakan Bandar Pintar Negeri Johor 2030.

 

“Seiring dengan pembangunan serba digital, Kerajaan Negeri Johor telah menghasilkan dokumen ‘blueprint’ Bandar Pintar Negeri Johor 2030 sebagai platform indikator utama pelaksanaan ke arah menjadi sebuah bandar pintar.

 

“Oleh itu, saya ingin menjemput semua penjawat awam dan pemain industri di dalam Negeri Johor untuk menyertai JSCF 2023. Ini adalah forum bertaraf antarabangsa yang tidak pernah dianjurkan sebelum ini,” katanya.

 

YB Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani juga memaklumkan pelbagai program disediakan termasuk Majlis Pelancaran Blueprint Bandar Pintar Johor 2030 dan Pelan Tindakan Bandar Pintar Pengerang 2030.

 

“Juga diadakan sesi forum dan dialog melibatkan hampir 70 orang panel yang akan diadakan secara serentak. Turut berlangsung pameran melibatkan lebih 70 pempamer dari dalam dan luar negeri dengan pelbagai tema akan diketengahkan seperti ‘Smart Government’, ‘Smart People’, ‘Smart Economy’, ‘Smart Living’, ‘Smart Mobility’, ‘Smart Environment’ dan ‘Smart Digital Infrastructure’,” katanya.

 

Forum berlangsung selama tiga hari itu turut menyediakan pengangkutan bas secara percuma ke lokasi program dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari laman sesawang jscf.johor.gov.my.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor