DYAM TUNKU MAHKOTA ISMAIL WATAK UTAMA ORANG MUDA JOHOR


Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Siapa dapat menduga tarikh keramat 19 September 2020 menjadi detik paling bermakna bagi orang muda di Johor apabila DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor diamanahkan oleh ayahanda baginda, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk mengetuai dan seterusnya memimpin semua aktiviti yang berkaitan belia dan beliawanis di Negeri Johor Darul Ta’zim.

 

Amanah tersebut dijunjung tinggi oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail dan mulai dari hari pertama lagi, Baginda tidak lagi menoleh ke belakang dan terus merencanakan pelbagai perancangan rapi bagi memastikan golongan anak muda di Johor sentiasa bergiat aktif dalam pelbagai program yang sarat dengan yang pastinya amat berguna untuk pembangunan masa depan Negeri Johor.

 

Tidak menunggu lama, Baginda dengan penuh azam dan cita-cita terus menjadi pemimpin nombor satu anak muda di Johor. Berkat daripada karisma yang dianugerah ilahi, DYAM Tunku Mahkota Ismail kemudian berkenan untuk merasmikan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre Johor Bahru atau lebih sinonim dengan singkatannya TMIYC JB yang juga menjadi antara buah tangan Baginda kepada anak muda Johor untuk melaksanakan pelbagai program berkaitan belia.

 

Falsafah kepimpinan DYAM Tunku Mahkota Ismail tidak terhenti setakat itu sahaja. Belum puas orang muda di Johor menceritakan tentang TMIYC, Baginda segera menubuhkan pula satu badan kesukarelawan dalam kalangan belia, yang apa kita kenali hari ini sebagai Southern Volunteer (SV).

 

Kelahiran SV ini boleh dianggap sebagai kelahiran penting dalam menanam semangat jati diri dan sahsiah anak muda Johor menerusi aktiviti kesukarelawanan. Hari ini, skuad SV boleh dilihat di mana-mana sahaja yang sedia memberi khidmat kepada masyarakat tanpa mengira situasi dan waktu, sekali gus menjadikan SV ini sebagai antara budaya baharu dalam diri orang muda Johor.

 

Tidak keterlaluan jika dikatakan, SV kini menjadi antara pihak paling kehadapan sekiranya berlaku sebarang bencana mahu pun tragedi, bukan hanya menolong rakyat memerlukan tetapi juga membantu melincinkan lagi tugas pihak berkuasa dalam menangani apa jua situasi di luar jangka.

 

Bagi memastikan agenda orang muda Johor terus diperkasa, DYAM Tunku Mahkota Ismail tidak hanya bertindak sendirian semata-mata. Walaupun dianggap sebagai ‘the choosen one’ bagi sesetengah pihak, Baginda tetap mendengar setiap pandangan, cadangan, idea daripada semua pihak hasil daripada keberkatan permuafakatan dalam Bangsa Johor.

 

Buktinya mudah, Baginda sentiasa meluangkan masa dalam jadual padat seharian untuk bertemu dengan kepimpinan Majlis Belia Negeri Johor untuk mengambil sembah maklum tentang hal ehwal orang muda di Johor. Jika masih ada yang kurang percaya, molek juga kiranya mereka menekan butang ‘follow’ di akaun media sosial rasmi Baginda.

 

“Anak muda harus mainkan peranan penting, macam mana sekali pun sampaikan ‘suara-suara’ anda kerana tugas dan tanggungjawab pemimpin adalah untuk berkhidmat dan menjadi hamba kepada rakyat. Ini pandangan ikhlas saya.” – DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

 

Jelas dari segala tindakan Baginda, pembangunan orang muda di Negeri Johor adalah kesinambungan bagi meneruskan pembangunan dan kemajuan negeri yang lebih holistik selaras dengan aspirasi dan kehendak Bangsa Johor itu sendiri.

 

#OrangMudaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor