SKUAD TENIS SUKMA JOHOR BERAZAM MENAMATKAN KEMARAU PINGAT

Pasukan Tenis Johor berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi menjelang SUKMA XXII Selangor 2026 selepas memilih 12 pemain terbaik daripada 24 bakat akar umbi yang dikenal pasti sejak Januari 2025.
#IskandarPuteri – Pasukan Tenis Johor kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi selepas berjaya menamatkan kem pra-Sukan Malaysia (SUKMA) pada 18 hingga 19 Julai 2026 di Pusat Kecemerlangan Sukan Negeri Johor, Nusa Duta sebagai persiapan menghadapi temasya SUKMA XXII Selangor 2026.
Dr. Syahrul Ridhwan Morazuki, Pengurus Pasukan Tenis SUKMA Johor memaklumkan seramai 24 orang pemain akar umbi dikesan sejak Januari 2025 dan akhirnya mengehadkan skuad akhir mereka kepada 12 orang pemain (enam lelaki dan enam perempuan) bagi menghadapi temasya sukan dwi tahunan ini.
Sasaran utama pasukan adalah untuk membawa pulang pingat dan memecahkan kemarau panjang sejak tahun 2008, sekali gus bakal memberi inspirasi dan semangat baharu kepada pemain muda di masa akan datang.
Pada edisi SUKMA kali ini, Johor meletakkan sandaran tinggi kepada gandingan kembar berbakat berusia 15 tahun, Amanda Teng dan Audrey Teng bagi menggalas cabaran dalam acara perseorangan, beregu serta berpasukan.
Berdasarkan pengalaman serta pengetahuan dalam bidang Sains Sukan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru, Dr. Syahrul Ridhwan memuji usaha Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan Perbadanan Stadium Negeri Johor (PSNJ dalam memperkasa kemudahan fasiliti sukan yang mampu menjulang nama Johor dipersada sukan domestik mahupun antarabangsa.
Selain itu, sistem sokongan atlet secara holistik menerusi barisan pakar di dalam bidang suaian fizikal, nutrisi dan psikologi daripada pusat sukan The Cage turut membantu persiapan akhir skuad bimbingan Dr. Syahrul.
Sukan tenis mempertaruhkan sebanyak tujuh acara pingat emas pada temasya SUKMA XXII Selangor 2026 bermula 17 Ogos di Kompleks Sukan Kelana Jaya dan Kompleks Sukan PKNS, Petaling Jaya.
Semoga berjaya Kontinjen Johor!
#JohorSafeZone
#Fearless
#TenisJohor
#SUKMASelangor2026
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


