JOHOR CADANG DASAR PENGANJURAN SUKAN LEBIH SELAMAT DAN TERSUSUN

YB Tuan Haji Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor menyampaikan amanat berkenaan pada Sesi Perjumpaan dan Libat Urus Bersama Wakil 39 Persatuan Sukan Negeri di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri mencadangkan pewujudan Dasar Penganjuran Kejohanan Sukan Johor bagi memperkukuh tadbir urus penganjuran kejohanan serta meningkatkan keselamatan atlet dan peserta di negeri ini.

 

Dasar berkenaan akan dibangunkan menerusi sesi libat urus bersama persatuan sukan negeri untuk mewujudkan sistem penganjuran yang lebih tersusun, selamat dan mematuhi mekanisme kawal selia ditetapkan.

 

Antara komponen utama yang dicadangkan adalah kewajipan mendapatkan kelulusan persatuan sukan induk, Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) atau Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor (JBSNJ) melalui Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PSM) selain penetapan piawaian minimum keselamatan dan perubatan.

 

Dasar berkenaan turut merangkumi perlindungan insurans dan kanak-kanak, penggunaan pegawai teknikal bertauliah, tanggungjawab pemilik kemudahan sukan serta pembangunan sistem sehenti e-Sanction.

 

Mekanisme pemantauan, penguatkuasaan, pendidikan dan advokasi turut diberi perhatian bagi memastikan proses kelulusan kekal ringkas, pantas dan berkos minimum tanpa mengekang pembangunan sukan akar umbi.

 

Hasil sesi libat urus akan menjadi asas penyediaan kertas dasar dan draf pertama dalam tempoh 30 hari sebelum diperhalusi serta dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk kelulusan dan pelaksanaan.

 

Terdahulu, YB Tuan Haji Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor menyampaikan amanat berkenaan pada Sesi Perjumpaan dan Libat Urus Bersama Wakil 39 Persatuan Sukan Negeri di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, hari ini.

 

Turut hadir, YB Puan Nadhirah Afiqah Abdull Rahim, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor; YB Dato’ Haji ‘On Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) serta YBhg. Encik Hasnul Atmam Othman, Pengarah MSNJ.

 

#JohorSafeZone
#KejohananSukanJohor
#AtletJohor
#MSNJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor