EKSPLOITASI DENGAN TEROKA HUTAN UNTUK PERTANIAN KOMERSIAL


Pengarah Perhutanan Negeri Johor, Dato’ Salim Aman berkata, keadaan itu berbeza dengan situasi asal kampung Orang Asli apabila kumpulan masyarakat terbabit berkebun untuk kegunaan sendiri. | Foto MDJ, Saufi Razale

 

Oleh Aivizanoorwani Shah, Mohd Firdaus Yon, Badrul Kamal Zakaria dan Imran Razib

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Perhutanan Negeri Johor memaklumkan eksploitasi dibuat terhadap Orang Asli kebanyakan dalam bentuk penerokaan kawasan hutan bagi tujuan pertanian secara komersial.

 

Pengarahnya, Dato’ Salim Aman berkata, keadaan itu berbeza dengan situasi asal kampung Orang Asli apabila kumpulan masyarakat terbabit berkebun untuk kegunaan sendiri.

 

“Orang kata kalau habis pun, tebang tinggal sikit (untuk) buat kebun. Mereka tanam buah-buahan dan padi (untuk kegunaan sendiri). Tapi kebanyakan berlaku sekarang ini, seperti titah DYMM Tuanku secara komersial (besar-besaran). Buat ladang kelapa sawit, ada getah. Bila kita ambil tindakan, mereka ke depan. Tapi yang usahakan bukan dia (orang luar).

 

“Sebagai contoh macam di Kluang, ada satu kes itu, mereka ada perjanjian dengan orang luar. Bila ada perjanjian, yang usahakan ladang kelapa sawit itu orang luar. Tapi mereka dapat imbuhan bulanan. Kita boleh banding antara kebun (diusahakan) mereka sendiri dengan kebun diusahakan secara komersial,” katanya kepada Media Digital Johor, di sini semalam.

 

Ditanya sama ada penerokaan menerusi perjanjian dibuat antara Orang Asli dengan orang luar dari sudut perundangan, Salim berkata, penerokaan hutan tetap merupakan satu kesalahan.

 

“Teroka memang salah. (Bagaimanapun) timbul isu (pihak bertanya) kenapa tidak diambil tindakan daripada awal sehingga berleluasa. Pertama, bila melibatkan komuniti Orang Asli, mereka dakwa tanah adat mereka. Jadi bila kita masuk, berlaku macam ada konflik.

 

“Bila kita tangkap, ada pula pihak akan masuk. Macam-macam NGO, (bahkan) peguam akan sokong mereka. Kadang-kadang kita hendak ambil tindakan, terima ancaman,” katanya.

 

Dalam pertemuan berkenaan, beliau turut memaklumkan telah mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama beberapa pihak berkepentingan lain, semalam.

 

Ujarnya, antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai Tanah Kesultanan susulan daripada penyerahan memorandum bantahan oleh sekumpulan Orang Asli kepada Kerajaan Johor.

 

“Saya rasa mungkin mereka (Orang Asli) salah faham lagi istilah Tanah Kesultanan. Dia ingatkan Tanah Kesultanan itu tanah itu dimiliki oleh DYMM Tuanku. Sebenarnya bukan. Jadi apa yang kita bincang tadi, mungkin pihak kerajaan negeri akan buat penerangan dengan mereka maksud (Tanah Kesultanan) itu.

 

“Orang kata mungkin, kerajaan ini kejam untuk ambil tindakan kepada Orang Asli. (Sedangkan) pada masa sama, kita cuba bantu Orang Asli,” katanya.

 

Terdahulu, DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah agar kerajaan negeri meletakkan kawasan penempatan dan rizab Orang Asli di bawah Tanah Kesultanan ketika berangkat merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, pada 16 Mac lalu.

 

Titah Baginda Tuanku itu supaya tiada mana-mana pihak boleh berbuat sesuka hati kerana percaya terdapat orang luar menjadi dalang dan mengambil kesempatan dengan menggunakan hak Orang Asli sebagai alasan membuka kawasan hutan simpan kerajaan untuk dijadikan ladang getah dan kelapa sawit secara besar-besar.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor