EMPAT AGENDA DIBERIKAN TUMPUAN TAHUN 2024


Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Johor, Yosri Mohd. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Jabatan Pertanian Negeri Johor menumpukan empat agenda bagi meningkatkan hasil tanaman sekali gus menyokong hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Johor sebagai ‘Periuk Nasi Selatan’ pada tahun depan.

 

Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Johor, Yosri Mohd memberitahu, agenda pertama adalah pembangunan tanaman makanan utama dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 750 hektar keluasan tanaman sayur-sayuran, ladang dan buah-buahan melibatkan 500 petani.

 

Bagi agenda kedua, pihak jabatan terus komited meningkatkan hasil tanaman padi di luar jelapang menerusi penyediaan bantuan peralatan serta pemuliharaan struktur tanah untuk mencapai purata pengeluaran sekurang-kurangnya 5 tan metrik per hektar.

 

Selain itu, aplikasi mekanisasi, automasi dan teknologi pertanian maju dan bersesuaian juga akan diberi tumpuan untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran di samping meneroka teknologi baharu ke arah pemodenan sektor pertanian dan lestari bagi agenda ketiga.

 

Agenda terakhir, pihak jabatan akan membantu usahawan industri asas tani meningkatkan kualiti keselamatan makanan menerusi projek pembangunan teknologi dan inovasi serta menyediakan latihan bersifat ‘hands-on’.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor