ANAK MUDA JOHOR DAMBAKAN MASA DEPAN YANG LEBIH CERAH

Titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menyuarakan hak peratusan pulangan hasil cukai pendapatan negeri yang lebih tinggi bagi Negeri Johor. | Foto: HRH Crown Prince of Johor
#IskandarPuteri – Akses pendidikan, peluang pekerjaan dan perniagaan, prasarana yang terbaik dan pembangunan sosial sentiasa menjadi antara intipati utama harapan dalam kalangan Anak Muda Johor.
Impian dan harapan ini mungkin hanya akan dapat direalisasikan dengan sebaik mungkin apabila Kerajaan Negeri mempunyai sumber kewangan yang kukuh termasuklah menerusi titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menyuarakan hak peratusan pulangan hasil cukai pendapatan negeri yang lebih tinggi bagi Negeri Johor.
Justeru, sokongan Anak Muda Johor kepada apa yang disuarakan sendiri oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail bukan sekadar reaksi emosi atau sokongan kosong, sebaliknya manifestasi tanggungjawab dan harapan generasi muda yang mahu melihat negeri ini memiliki kestabilan kewangan yang kukuh untuk mentadbir secara lebih efisien, demi manfaat besar kepada generasi akan datang.
Mohd Faiz Mohamad, Timbalan Presiden Majlis Belia Negeri Johor menyifatkan titah DYAM Tunku Mahkota Ismail sebagai bukti keberanian dan keprihatinan Baginda dalam membangkitkan isu struktur kewangan negara ke peringkat nasional, sekali gus mencerminkan keutamaan Baginda terhadap keperluan rakyat dan pembangunan negeri.
Beliau menegaskan bahawa banyak projek infrastruktur penting di Johor seperti Hospital Pasir Gudang, jalan raya di Muar dan Segamat serta sekolah di luar bandar tergendala kerana kekangan bajet. Keadaan ini jelas menunjukkan betapa pentingnya Johor memiliki ‘kuasa’ kewangan sendiri bagi memastikan keputusan dapat dibuat dengan lebih pantas dan mengikut keperluan sebenar di peringkat akar umbi.
Faiz turut menekankan bahawa sekiranya pemulangan cukai yang sewajarnya dilaksanakan, sektor sukan antara yang paling mendapat manfaat apabila Johor berupaya membina lebih banyak fasiliti moden seperti padang bola, gelanggang futsal berbumbung, gim komuniti serta melaksanakan program akar umbi secara menyeluruh.
Sementara itu, Muhammad Irfan Firdaus Md Fauzi, Presiden Gabungan Mahasiswa Anak Johor (GAJ), percaya bahawa pemulangan peratusan hasil cukai pendapatan negeri yang lebih tinggi ini juga akan dapat memperkukuh sektor pendidikan, latihan kemahiran, peluang pekerjaan dan pembangunan luar bandar secara holistik.
Beliau turut menjadikan Sarawak sebagai contoh negeri yang berjaya apabila sebahagian hasil cukai itu dapat dimanfaatkan untuk generasi muda termasuk pelaksanaan dasar pendidikan tinggi percuma.
Menurutnya, jika Sarawak mampu, Johor yang kini sudah memiliki pelbagai asas ekonomi yang kukuh juga tidak seharusnya ketinggalan dalam membangunkan negeri mengikut acuan dan ‘cara Johor’ itu sendiri.
Bagi Irfan, tuntutan ini bukan bersifat politik atau melampau, tetapi satu sokongan realistik terhadap titah DYAM Pemangku Sultan Johor yang hanya menuntut hak yang setimpal dengan sumbangan besar negeri ini kepada negara, menjadikan permintaan tersebut wajar dan berasaskan fakta ekonomi yang dijana oleh Johor.
Apa yang dizahirkan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bukan sekadar titah Diraja, tetapi mewakili suara Bangsa Johor secara keseluruhan yang mahu melihat negerinya diberi kuasa mentadbir hasil ekonomi sendiri demi masa depan yang lebih stabil, efisien, progresif dan holistik.
#WTN
#PulanganCukai25%
#EkonomiJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor