JUALAN KASIH JOHOR TAWAR 420,000 SET KOMBO RM15 DI 219 LOKASI

Sejak diperkenalkan pada tahun 2023, Kerajaan Johor telah memperuntukkan lebih RM26 juta bagi menjayakan Jualan Kasih Johor sebagai langkah berterusan membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup. | Foto Arkib MDJ
#IskandarPuteri – Sebanyak 420,000 Set Kombo Kasih RM15 merangkumi seekor ayam, sepapan telur dan dua liter minyak masak akan ditawarkan menerusi pelaksanaan Program Jualan Kasih Johor di seluruh negeri bermula 15 Mei 2026.
Program berkenaan akan dilaksanakan di 219 lokasi di seluruh daerah di Johor bagi memastikan lebih ramai Bangsa Johor menerima manfaat menerusi penawaran barangan keperluan asas pada harga istimewa yang disediakan oleh Kerajaan Johor.
Inisiatif itu selaras dengan pengumuman tambahan peruntukan sebanyak RM30 juta oleh Kerajaan Negeri bagi memperluas pelaksanaan Jualan Kasih Johor susulan sambutan memberangsangkan serta maklum balas positif rakyat di peringkat akar umbi.
Penambahan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan Jualan Kasih Johor bagi tahun 2026 meningkat kepada RM45.4 juta dengan sasaran memberi manfaat kepada 750,200 keluarga Bangsa Johor.
Sebelum ini, sebanyak RM15.4 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program berkenaan di 336 lokasi di seluruh negeri dengan sasaran memanfaatkan lebih dua juta rakyat.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2023, Kerajaan Johor telah memperuntukkan lebih RM26 juta bagi menjayakan inisiatif itu sebagai langkah berterusan membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.
Selain meringankan beban perbelanjaan harian rakyat, pelaksanaan Jualan Kasih Johor turut menjadi pendekatan penting dalam memastikan akses kepada barangan makanan asas pada harga lebih mampu milik dapat diperluaskan sehingga ke peringkat komuniti di seluruh negeri.
#JohorSafeZone
#BangsaJohorSejahtera
#JualanKasihJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



