JOHOR-KPM KUKUHKAN KOMITMEN BERSAMA PERKASA AGENDA PENDIDIKAN

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor mengadakan kunjungan hormat serta perbincangan khas bersama YBrs. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, Ketua Setiausaha KPM di Putrajaya. | Foto FB Aznan Tamin
Oleh: NUREEN NATASYA NOOR HASHAIRUL
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri terus mengorak langkah memperkukuhkan lagi hubungan strategik dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha memperkasa agenda pendidikan negeri.
Bagi tujuan tersebut, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor mengadakan kunjungan hormat serta perbincangan khas bersama YBrs. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, Ketua Setiausaha KPM di Putrajaya.
Tumpuan perbincangan adalah pembentangan status kemajuan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) termasuk pelaksanaan pelbagai program pembangunan akademik dan pengantarabangsaan selain menilai status naik taraf infrastruktur sekolah yang telah dilaksanakan.
Selain itu, usaha-usaha penambahbaikan bagi memastikan inisiatif SRBJ terus relevan dan pembangunan pendidikan Johor memberi impak menyeluruh kepada murid serta pelajar di negeri ini, turut dibincangkan.
Sesi berkenaan disifatkan sebagai peluang berharga untuk mendengar, berbincang dan menambah baik sistem sedia ada malah Johor mengambil maklum segala pandangan, cadangan serta komitmen bersama demi pendidikan negeri yang maju, berkualiti dan inklusif.
Hadir sama, YBrs. Dr. Mohd Azam Ahmad, Ketua Pengarah Pendidikan; YBrs. Dato’ Wan Hashim Wan Rahim, Timbalan Ketua Setiausaha, Bahagian Perancangan & Pembangunan, KPM; YBhg. Tuan Haji Mohd Fahmi Salam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan YPJ dan YBrs. Encik Zulkurnain Abdul Rahman, Timbalan Pengarah, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Johor.
#JohorSafeZone
#KPM
#SekolahRintisBangsaJohor
#SRBJ
#JPNJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor