ALIRAN TRAFIK JB SENTRAL DIPERKEMAS MENJELANG RTS LINK

Jalan Tun Abdul Razak ditetapkan sebagai laluan utama kenderaan persendirian dan e-hailing untuk mengambil serta menurunkan penumpang di JB Sentral bagi melancarkan aliran trafik di pusat bandar Johor Bahru. | Foto FB Fazli Salleh
#JohorBahru – Laluan di Jalan Tun Abdul Razak akan berfungsi sebagai laluan utama bagi kenderaan persendirian dan e-hailing untuk urusan mengambil serta menurunkan penumpang di JB Sentral sebagai langkah penambahbaikan aliran trafik di pusat bandar raya Johor Bahru.
YB Tuan Haji Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, memaklumkan penyusunan laluan berkenaan dilakukan bertujuan untuk memastikan pergerakan kenderaan di kawasan terbabit yang lebih teratur dan lancar.
Sehubungan itu, kerja-kerja pelebaran lorong Drop-off/Pick-up (DOPU) kini sedang dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti laluan serta mengurangkan kesesakan, khususnya ketika waktu puncak.
Langkah ini juga merupakan sebahagian daripada persediaan menjelang pengoperasian Sistem Transit Aliran Johor Bahru–Singapura (RTS Link) yang dijangka meningkatkan pergerakan penumpang di sekitar JB Sentral dan Bukit Chagar.
Melalui penyusunan laluan tersebut, pergerakan kenderaan persendirian, e-hailing dan pengangkutan awam dapat diurus dengan lebih sistematik, sekali gus mengelakkan pertindihan aliran trafik di laluan utama.
Dalam pada itu, penambahbaikan aliran trafik di kawasan berkenaan akan terus dipantau dan diperhalusi bagi memastikan kelancaran pergerakan trafik serta meningkatkan keselesaan pengguna jalan raya di pusat bandar raya Johor Bahru.
Usaha ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Johor untuk memperkukuh sistem pengangkutan dan infrastruktur bandar sebagai persediaan menghadapi peningkatan mobiliti selaras dengan pembangunan pengangkutan awam rentas sempadan di lokasi berkenaan.
#JalanTunAbdulRazak
#JBSentral
#RTSLink
#JohorBahru
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



