PERKHIDMATAN AWAM DIPERKASA TANGANI ANCAMAN AJARAN SESAT DAN EKSTREMISME

Program Bicara Eksekutif Keselamatan Negeri Johor 2026 anjuran MKN Negeri Johor bertujuan meningkatkan kesedaran penjawat awam dalam mengenal pasti dan menangani ancaman ajaran sesat serta ekstremisme. | Foto MDJ Afizuddin
#JohorBahru – Kesedaran serta pemikiran kritis dalam kalangan penjawat awam perlu diperkukuh khususnya dalam mengenal pasti dan menangani sebarang ancaman ajaran sesat termasuk ekstremisme yang boleh mempengaruhi pemikiran, pegangan dan tindakan seseorang individu.
Sehubungan itu, Program Bicara Eksekutif Keselamatan Negeri Johor Tahun 2026 yang bertemakan Menangani Ajaran Sesat dan Ekstremisme dalam Perkhidmatan Awam anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Johor diadakan bagi meningkatkan kesedaran serta memperkukuh langkah pencegahan terhadap ancaman pengaruh sosial berkenaan.
Program bicara tersebut tersebut yang menampilkan tiga panel iaitu YBhg Tuan Haji Yosree Ikhsan, Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), YDH SAC Datuk Ahmad Norisham Ma’arus, Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, serta YBrs Dr. Nurul Miza Mohd Rashid, Pensyarah Jabatan Psikologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Pengaruh individu berkarisma, dakwaan luar biasa serta keperluan terhadap kasih sayang dan perhatian boleh menjadi antara faktor yang menyebabkan seseorang mudah terpedaya dengan ajaran yang menyeleweng daripada akidah Islam yang murni.
Justeru, kepentingan pendidikan awal dan pemantauan ibu bapa terhadap aktiviti digital anak-anak, khususnya golongan muda yang mudah terdedah kepada pengaruh media sosial perlu dilakukan setiap masa bagi mencegah mereka daripada terjebak dengan fahaman ekstremisme seumpana ini.
Selain itu, faktor psikologi dan pengalaman hidup yang traumatik juga sedikit sebanyak boleh mempengaruhi kecenderungan seseorang itu menerima fahaman yang menyeleweng dan atas sebab itu, keupayaan mempunyai pemikiran kritis amat penting dalam menilai kesahihan, sumber dan rasional sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
Sebanyak 22 ajaran telah difatwakan sesat, menyeleweng dan terpesong di Johor sejak 1994, manakala lapan kumpulan ajaran sesat masih dipantau oleh pihak berkuasa. Ancaman berkenaan turut berkembang melalui algoritma media sosial, doktrinasi dalam talian dan pergerakan bawah tanah.
Bagi menangani ancaman tersebut, Kerajaan Negeri Johor melaksanakan pendekatan tiga serampang yang merangkumi penguatkuasaan tegas, pencegahan strategik dan pemulihan akidah melalui kerjasama bersepadu antara Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) demi memelihara keselamatan dan keharmonian negeri Johor.
Hadir sama pada program tersebut ialah YBhg Mohd Hairul Anuar Bohro, Pengarah MKN Negeri Johor dan YB Dato’ Haji Nasri Md. Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan).
#MKNJohor
#PerkhidmatanAwam
#AjaranSesat
#Ekstremisme
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


