JOHOR PERKUKUH USAHA JADIKAN SEKOLAH TEMPAT SELAMAT

Kerajaan Negeri komited bekerjasama dengan JPNJ dan agensi berkaitan membanteras isu disiplin, buli serta salah laku di sekolah melalui Kempen Anti-Buli Johor, demi memastikan 1,195 sekolah di negeri ini kekal selamat dan kondusif untuk pembelajaran. | Foto arkib MDJ

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri menjunjung titah pandangan dan keprihatinan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berhubung beberapa kejadian berlaku di sekolah, baru-baru ini, yang disifatkan sebagai amat bertepatan dan signifikan dalam usaha bersama memastikan kesejahteraan serta keselamatan murid di Negeri Johor sentiasa menjadi keutamaan.

 

Dalam satu kenyataan, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor turut menjunjung kasih atas keprihatinan Raja Permaisuri Agong mengenai kepentingan pendidikan disiplin, peranan aktif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pengaruh media sosial terhadap murid sekolah selain menyoroti kepedulian Institusi DiRaja Johor menerusi kempen TinDak (Tindak Demi Anak Kita) di bawah kelolaan Johor Women’s League (JEWEL) pada Mei 2017.

 

Kerajaan Negeri menegaskan komitmen penuh untuk terus bekerjasama erat dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), pihak berkuasa dan semua agensi berkaitan untuk membanteras isu disiplin, buli dan salah laku di sekolah termasuk melalui kempen Anti-Buli Johor digerakkan bagi memastikan 1,195 buah sekolah di negeri ini, kekal sebagai tempat yang selamat dan kondusif untuk anak-anak kita menimba ilmu.

 

JPNJ juga akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha memperkasakan peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) untuk membendung isu gangguan seksual membabitkan anak-anak Johor supaya pemantauan berkala dilaksanakan bagi memastikan keselamatan murid sentiasa terjamin dan tindakan pantas dapat diambil terhadap sebarang laporan yang diterima.

 

Selain membantah sekeras-kerasnya sebarang penerbitan audiovisual menonjolkan unsur keganasan dan buli di pawagam mahupun platform penstriman atas talian serta menyarankan tapisan kandungan secara menyeluruh dilakukan sebelum disiarkan, Kerajaan Negeri turut menyeru ibu bapa memainkan peranan yang lebih aktif dalam memantau perkembangan anak-anak khususnya dalam penggunaan gajet dan media sosial di rumah.

 

Pada masa sama, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuhkan fungsi sekolah sebagai tempat yang selamat dan sejahtera untuk murid demi melahirkan modal insan Johor berilmu, beradab dan berdaya saing selaras dengan aspirasi memperkasakan modul Karakter Murid Johor (KrMJ) bagi membina Bangsa Johor berintegriti tinggi, berdisiplin serta berakhlak mulia.

 

#JohorSafeZone
#AntiBuli
#KamiBenciBuli
#StandUpSpeakUp
#BuliBukanBudayaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor