RTS LINK JOHOR-SINGAPURA CAPAI KEMAJUAN 65 PERATUS, SASAR SIAP AKHIR 2026

Projek RTS Link yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura kini mencapai 65% kemajuan, menandakan langkah positif ke arah penyediaan sistem pengangkutan moden dan efisien untuk rakyat Johor. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#JohorBahru – Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura kini mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 65 peratus, sekali gus menandakan perkembangan positif ke arah penyediaan sistem pengangkutan moden dan efisien bagi rakyat Johor.

 

Projek mega ini terdiri daripada tiga komponen utama yang masing-masing menunjukkan kemajuan memberangsangkan antaranya ialah Depot Wadi Hana yang kini mencapai 91 peratus, Stesen Bukit Chagar mencapai 73 peratus, manakala Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQC) Bukit Chagar pula sudah mencapai tahap 76.8 peratus.

 

Selain itu, tren pertama RTS Link dijangka tiba di Depot Wadi Hana pada pertengahan November ini, dengan ujian pergerakan tren akan dijalankan secara berperingkat bermula pada Disember depan sebagai langkah persediaan kepada fasa operasi selepas kerja-kerja pemasangan tren ini dilakukan.

 

Projek RTS Link ini disasarkan siap sepenuhnya menjelang 31 Disember 2026, bagi memastikan operasi penuh dapat dimulakan menjelang Januari 2027, selain beberapa siri ujian dan simulasi operasi turut dijadualkan bagi memastikan sistem pengangkutan berkenaan berfungsi dengan lancar dan selamat sebelum pembukaan rasmi.

 

Apabila siap kelak, RTS Link Johor-Singapura bakal menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh hubungan dua hala Johor-Singapura serta mengurangkan kesesakan di Tambak Johor, sekali gus memberi manfaat besar kepada mobiliti harian rakyat dan pertumbuhan ekonomi negeri.

 

Terdahulu, YB Tuan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan hadir pada sesi Taklimat Kemajuan Projek bagi Projek RTS Link Johor-Singapura di Bangunan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICCQ) Bukit Chagar, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#RTSLinkJohorSingapura
#MRTCorp
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor