ORANG AWAM DINASIHATKAN BERTENANG SUSULAN GEGARAN LEMAH DI SEGAMAT

Kejadian gegaran lemah bermagnitud 2.7 yang dilaporkan berlaku di daerah Segamat, hari ini.
#IskandarPuteri – Orang awam dinasihatkan supaya kekal bertenang dan tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih susulan kejadian gegaran lemah bermagnitud 2.7 yang dilaporkan berlaku di daerah Segamat, hari ini.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Segamat, memberitahu satu gegaran gempa bumi lemah telah berlaku pada jam 7.55 malam, 3 November 2025 dan kesannya dirasai oleh penduduk di sekitar daerah Segamat serta kawasan sekitar berdekatan.
Justeru, masyarakat sekitar daerah berkenaan diminta untuk hanya mendapatkan perkembangan terkini melalui sumber rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan agensi-agensi kerajaan berkaitan, selain orang awam juga digalakkan supaya melaporkan sebarang insiden kecemasan kepada pihak berkuasa bagi memastikan tindakan pantas akan dapat diambil dengan sewajarnya.
Setakat kenyataan ini dikeluarkan, tiada laporan kerosakan harta benda, kecederaan mahupun kemalangan jiwa diterima. MET Malaysia juga akan terus memantau keadaan perkembangan semasa, manakala pihak berkuasa keselamatan bersama agensi berkaitan juga akan turut sama menjalankan pemantauan di kawasan terlibat.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Segamat melalui Pejabat Daerah Segamat akan terus menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa bagi memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
#JohorSafeZone
#GempaBumi
#Segamat
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


