JOHOR RANGKA PELAN TINDAKAN PERUBAHAN IKLIM

YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Pengerusi JSC menyertai sesi perbincangan kumpulan sasar (FDG) dapatan kajian merangkumi pelepasan gas rumah hijau Negeri Johor. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Johor menjadi negeri paling ke hadapan dalam merangka pelan komprehensif bagi menangani cabaran perubahan iklim serta memperkukuh pembangunan rendah karbon di negeri ini.
Pelan Tindakan Perubahan Iklim Johor 2035 ini dibangunkan melalui kerjasama strategik pelbagai pihak termasuk Pusat Kelestarian Johor (JSC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama agensi berkaitan bagi memastikan perancangan yang lebih tersusun dan bersepadu.
Usaha ini merupakan kesinambungan kepada momentum yang tercetus apabila Johor menjadi tuan rumah Persidangan Minggu Iklim Asia Pasifik (APCW) 2023, sekali gus membawa kepada penubuhan JSC sebagai platform utama dalam memacu agenda kelestarian negeri.
Seiring langkah tersebut, Kerajaan Johor turut memperkenalkan kerangka dasar Johor Green Deal sebagai panduan utama dalam memacu peralihan ke arah ekonomi hijau, pembangunan rendah karbon serta pengurusan sumber secara mampan.
Pendekatan berkenaan turut disokong oleh pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang turut memberi penekanan kepada elemen kelestarian sebagai antara faktor penting dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi dan memperkukuh daya saing ekonomi negeri.
Hasil dasar yang progresif dan mesra pelabur itu, Johor berjaya menarik pelaburan berjumlah RM91.1 bilion sehingga suku ketiga tahun lalu dan dijangka melepasi paras RM100 bilion untuk nilai keseluruhan bagi tahun 2025.
Keseluruhan inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Johor dalam memperkukuh pelaksanaan dasar kelestarian secara strategik dan berimpak tinggi, sekali gus memastikan pembangunan negeri kekal mampan serta memberi manfaat jangka panjang kepada Bangsa Johor.
Terdahulu, YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Pengerusi JSC hadir menyertai sesi perbincangan kumpulan sasar (FDG) dapatan kajian merangkumi pelepasan gas rumah hijau Negeri Johor, di Amari Hotel, Johor Bahru hari ini.
#JohorSafeZone
#JohorGreenDeal
#JohorSustainabilityCentre
#JohorLestari
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


