PROJEK PIPBJ FASA 1 CATAT KEMAJUAN LEBIH 96 PERATUS

Projek Perumahan Iskandar Puteri Bangsa Johor (PIPBJ) di Gerbang Nusajaya kini mencapai 96.34 peratus kemajuan pembinaan dan bakal menyediakan 2,006 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) kepada Bangsa Johor. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#IskandarPuteri – Projek Perumahan Iskandar Puteri Bangsa Johor (PIPBJ) di Gerbang Nusajaya terus mencatat perkembangan positif apabila Fasa 1 dan 1A kini mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 96.34 peratus, sekali gus menghampiri fasa penyerahan kepada pembeli.
Projek yang merupakan antara pembangunan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) terbesar di negeri ini bakal menyediakan 2,006 unit kediaman kepada Bangsa Johor sebagai usaha berterusan Kerajaan Johor dalam memperluaskan akses pemilikan rumah mampu milik.
PIPBJ menawarkan tiga pilihan kediaman, iaitu RMMJ Jenis C berkeluasan 1,000 kaki persegi pada harga RM150,000, RMMJ Jenis D1 berkeluasan 1,100 kaki persegi pada harga RM250,000 serta RMMJ Jenis D2 berkeluasan 1,200 kaki persegi pada harga RM300,000.
Setiap unit rumah berkenaan akan dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air bagi memenuhi keperluan keluarga serta memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat untuk memiliki kediaman yang selesa dan mampu dimiliki.
Selain Fasa 1 dan 1A yang hampir siap, Fasa 2 projek berkenaan turut menunjukkan kemajuan memberangsangkan apabila mencapai 75.02 peratus, manakala Fasa 3 dan 3A kini berada pada tahap 15 peratus.
Pemantauan di tapak projek turut memberi tumpuan kepada penyediaan sistem saliran, utiliti telekomunikasi, landskap, kawasan lapang dan laluan pejalan kaki bagi memastikan persekitaran kediaman yang lengkap, selamat serta kondusif untuk didiami.
Kerajaan Johor turut menekankan supaya setiap isu di tapak projek perumahan perlu diselesaikan segera melalui kerjasama erat antara pemaju, agensi teknikal dan semua pihak berkaitan agar pembinaan dapat disiapkan mengikut jadual tanpa menjejaskan aspek kualiti.
Sehingga suku kedua tahun 2026, sebanyak 22,284 unit RMMJ telah siap dibina dan memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), sekali gus membuktikan agenda perumahan rakyat terus dilaksanakan secara konsisten di seluruh negeri.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor bersama YB Dato’ Hasrin Kamal Hashim, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri mengadakan lawatan tapak bagi meninjau kemajuan Projek Perumahan PIPBJ.
#JohorSafeZone
#RumahMampuMilikJohor
#PerumahanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


