JOHOR BAKAL WUJUDKAN SISTEM LOGISTIK HALAL NEGERI BAGI PERKUKUH JS-SEZ

YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor hadir ke Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Logistik Halal Negeri Johor 2026. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor bakal memperkukuh ekosistem halalnya dengan mewujudkan sistem Logistik Halal Johor sebagai antara langkah strategik bagi menyokong pertumbuhan sektor halal serta memanfaatkan potensi yang mampu diraih di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Susulan pelaksanaan Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor (PKHNJ) 2030, keperluan terhadap sistem logistik halal dilihat amat penting bagi memberi keyakinan kepada pengguna khususnya umat Islam berikutan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya percampuran antara produk halal dengan produk tidak halal sepanjang proses penghantaran dilakukan.
Justeru bagi maksud itu, Kerajaan Negeri mahu memastikan satu mekanisme yang jelas dapat diguna pakai oleh semua pengeluar, pengimport dan pengeksport yang beroperasi di negeri ini supaya setiap produk yang memasuki Johor dapat menggunakan sistem logistik halal berkenaan.
Inisiatif ini dilihat penting bagi memastikan kelebihan yang dimiliki oleh JS-SEZ ini dapat dimanfaatkan secara lebih menyeluruh dengan menghubungkan kawasan industri, pusat pengeluaran, gudang, pelabuhan, lapangan terbang dan pasaran menerusi satu ekosistem logistik yang cekap, digital dan diyakini.
Perancangan susulan dan resolusi hasil perbincangan ini juga akan diperhalusi melalui perjumpaan dan perbincangan bersama pihak berkepentingan bagi memastikan agenda pelaksanaan logistik halal ini dapat dibangunkan secara menyeluruh dan berkesan di Johor.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor hadir ke Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Logistik Halal Negeri Johor 2026 di Fraser Place Puteri Harbour, Iskandar Puteri, hari ini.
#JohorSafeZone
#LogistikHalalJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



