JOHOR AMBIL LANGKAH PERSEDIAAN KEMASUKAN MURID TAHUN SATU BERUSIA ENAM TAHUN

Kerajaan Negeri bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menggerakkan pelbagai langkah persediaan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun Satu bermula pada sesi persekolahan 2027. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor menyambut baik pelaksanaan dasar kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun sebagai sebahagian daripada pembaharuan sistem pendidikan negara yang diumumkan dalam Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2025-2035.
Kerajaan Negeri bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menggerakkan pelbagai langkah persediaan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun Satu bermula pada sesi persekolahan 2027.
Antaranya langkah yang diambil termasuk penyuraian murid ke sekolah berhampiran bagi mengoptimumkan kapasiti sekolah dan mengurang isu kepadatan murid, selain penyesuaian penggunaan ruang sedia ada seperti bilik khas untuk dijadikan bilik darjah tambahan secara sementara.
Langkah lain yang turut diambil ialah dengan mengoptimumkan fasiliti pendidikan sedia ada menerusi penggunaan infrastruktur secara lebih efisien, selain pelaksanaan dua sesi persekolahan di sekolah yang mengalami kepadatan murid yang tinggi.
Selain itu, penyelesaian jangka panjang turut diberi perhatian menerusi perancangan pembinaan bangunan tambahan berkonsepkan ‘Industrialised Building System’ (IBS) melibatkan sekolah yang mencapai tahap kepadatan kritikal.
Pengambilan guru secara besar-besaran juga menjadi antara usaha Kerajaan Persekutuan bagi menyeimbangkan nisbah murid dan guru, sekali gus memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat dilaksanakan dengan lebih kondusif di setiap bilik darjah.
Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menjawab soalan mengenai persediaan Kerajaan Negeri berkaitan kemasukan murid Tahun Satu berumur 6 tahun pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#PendidikanJohor
#DarjahSatu
#DewanNegeriJohorKe15
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



