YANG DI-PERTUAN AGONG KURNIA 148 LEMBU KORBAN UNTUK RAKYAT JOHOR

Sebanyak 148 ekor lembu dikurniakan sempena Aidiladha hasil limpah perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi diagihkan kepada rakyat Johor sekali gus mencerminkan keprihatinan Institusi Diraja Johor terhadap Bangsa Johor. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Sebanyak 148 ekor lembu dikurniakan sempena ibadah korban Hari Raya Aidiladha tahun ini hasil limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk diagihkan kepada rakyat Johor.

 

Kurniaan penuh bermakna itu secara tidak langsung mencerminkan kasih sayang dan keprihatinan Institusi DiRaja Johor terhadap Bangsa Johor selain ia dapat menyemarakkan lagi sambutan Aidiladha di seluruh negeri ini dengan agihan daging korban kepada rakyat yang melibatkan pelbagai kawasan dan komuniti setempat.

 

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 32 ekor lembu korban telah diagihkan di seluruh kawasan Simpang Renggam melibatkan masjid, surau, kampung dan pelbagai pihak dalam usaha memperkukuh semangat gotong-royong serta membantu golongan memerlukan.

 

Pelaksanaan ibadah korban berkenaan turut memperlihatkan semangat kebersamaan masyarakat yang berganding bahu melaksanakan ibadah korban selain mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan rakyat di pelbagai lapisan peringkat.

 

Selain itu, ibadah korban bukan sahaja melambangkan pengorbanan dan keikhlasan, malah ia juga menjadi medium memperkukuh nilai kasih sayang, kepedulian serta perpaduan dalam kalangan Bangsa Johor.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyertai program turun padang di Simpang Renggam bermula dengan Ziarah Kasih Keluarga Angkat di Kampung Batu 7 sebelum ia diteruskan dengan Program Korban Perdana Simpang Renggam bersama masyarakat setempat.

 

#JohorSafeZone
#Aidiladha
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor