JETP PASTIKAN SETIAP DAERAH JOHOR NIKMATI PERTUMBUHAN EKONOMI

JETP menyasarkan KDNK Johor mencecah RM260 bilion menjelang 2030, mewujudkan lebih 200,000 peluang pekerjaan baharu serta meningkatkan KDNK per kapita melebihi RM69,000. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) menetapkan peranan strategik khusus bagi setiap daerah dalam usaha memastikan pembangunan ekonomi yang lebih inklusif dan seimbang dapat dilaksanakan di seluruh negeri ini.
Pendekatan itu bertujuan untuk memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi tidak hanya tertumpu kepada kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), sebaliknya ia juga akan turut diperluaskan ke seluruh daerah termasuk Segamat yang akan dibangunkan sebagai hab tanaman bernilai tinggi dan pemprosesan biojisim manakala Tangkak pula berperanan sebagai pusat transit strategik serta hab eko-pelancongan.
Daerah Muar pula diposisikan sebagai kompleks industri tenaga, pelancongan bersepadu dan hab pemprosesan makanan bernilai tinggi diikuti Batu Pahat yang akan menjadi hab pembuatan dan pemprosesan bernilai tinggi, manakala Kluang pula akan dibangunkan sebagai hab pemprosesan agro, pertanian dan logistik.
Sementara itu, daerah Mersing pula disasarkan sebagai hab ekonomi biru dan eko-pelancongan, manakala Pontian akan memberi tumpuan kepada sektor tenaga biru-hijau dan produk akuakultur, sementara Kulai dan Johor Bahru pula akan berfungsi sebagai hab kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, aeroangkasa, pembuatan bernilai tinggi serta perkhidmatan berorientasikan eksport.
Daerah Kota Tinggi pula akan diperkukuh sebagai hab kimia hijau, hidrogen, pertanian dan pelancongan, sekali gus memastikan setiap daerah akan memainkan peranan saling melengkapi dalam membentuk ekosistem ekonomi Johor yang lebih berdaya tahan dan mampan menjelang tahun 2030.
JETP dilancarkan pada minggu lalu menetapkan sasaran untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Johor kepada RM260 bilion menjelang tahun 2030, mewujudkan lebih 200,000 peluang pekerjaan baharu serta meningkatkan KDNK per kapita melebihi RM69,000.
#JohorSafeZone
#PelanTransformasiEkonomiJohor
#JETP
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



