PENGUMUMAN PELAN INDUK JS-SEZ TIDAK WAJAR DILENGAHKAN

Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) wajar diumumkan segera memandangkan semua dokumen berkaitan telah disiapkan, sekali gus memastikan momentum pertumbuhan ekonomi Johor terus diperkukuh.

 

#IskandarPuteri – Pengumuman mengenai Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) tidak wajar terus dilengahkan memandangkan segala dokumen yang berkaitan dengannya telah disiapkan, selain ia juga amat penting bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi Johor dapat diteruskan.

 

Perkara itu disifatkan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, sebagai satu keperluan yang perlu diberi perhatian segera kerana pelan induk berkenaan pada asalnya disasarkan untuk diumumkan pada penghujung tahun 2025, sebelum tarikh baharu kemudiannya telah ditetapkan pada 30 Mac 2026, namun sehingga kini masih ia belum dilancarkan.

 

Pelancaran pelan induk itu juga tidak perlu ditangguh sehingga Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura pada penghujung tahun ini kerana ia tidak memerlukan persetujuan daripada Kerajaan Singapura.

 

Malah, agensi berkaitan daripada Johor, Kerajaan Persekutuan dan Singapura telah mengemukakan input serta maklum balas masing-masing sepanjang proses penyediaan pelan induk tersebut diadakan sebelum ini.

 

Kelewatan pengumuman itu secara tidak langsung akan menjejaskan kepastian yang diperlukan oleh pelabur, selain ia juga turut melibatkan beberapa perkara penting seperti hala tuju sektor, zon pelaburan, insentif, pembangunan infrastruktur, pembangunan bakat serta penyelarasan antara agensi.

 

JS-SEZ disifatkan sebagai antara inisiatif paling penting kepada Bangsa Johor kerana peranannya sebagai antara pemangkin utama dalam memperkukuh daya saing ekonomi negeri, menarik pelaburan berkualiti tinggi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat.

 

Justeru, Kerajaan Negeri menggesa Kerajaan Persekutuan agar tidak terus melengahkan pengumuman Pelan Induk JS-SEZ bagi memastikan segala perancangan pembangunan dan pelaburan dapat dilaksanakan mengikut jadual yang sudah dirancang sebelum ini demi kepentingan Johor dan negara.

 

#JSSEZ
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor