JOHOR PERKUKUH KESIAPSIAGAAN HADAPI RISIKO JEREBU, PEMBAKARAN TERBUKA

Kerajaan Negeri turut meminta semua agensi berkaitan supaya meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi memastikan sebarang risiko terhadap kesihatan awam dan alam sekitar dapat ditangani dengan segera. | Foto JBPM Negeri Johor
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri kini sedang memperkukuh kesiapsiagaan, pemantauan dan penguatkuasaan agensi berkaitan bagi menghadapi risiko jerebu serta pembakaran terbuka susulan keadaan cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor turut meningkatkan pemantauan di sekitar kawasan berisiko tinggi kebakaran seperti tapak pelupusan sampah, kawasan pertanian, tanah gambut dan tapak pembinaan.
Keadaan cuaca terkini di peringkat serantau turut diberi perhatian berikutan kemungkinan kejadian jerebu rentas sempadan yang boleh menjejaskan kualiti udara di Johor.
Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menyemak bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melalui saluran rasmi JAS serta mengurangkan aktiviti luar apabila bacaan melebihi 100 dan berada pada tahap tidak sihat.
Pembakaran terbuka juga perlu dielakkan sama sekali, manakala mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda antara RM25,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai turut digesa memastikan tubuh kekal terhidrat, mengambil langkah perlindungan tambahan jika tidak sihat serta mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi seperti JAS, Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) dan agensi kerajaan lain yang berkaitan.
Kerajaan Negeri turut meminta semua agensi berkaitan supaya meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi memastikan sebarang risiko terhadap kesihatan awam dan alam sekitar dapat ditangani dengan segera.
Terdahulu, YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor menyeru seluruh Bangsa Johor supaya sentiasa peka terhadap keadaan cuaca dan kualiti udara semasa di negeri ini.
#JohorSafeZone
#ElakPembakaranTerbuka
#ElNino
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


