JOHOR PERCEPAT PROJEK STRATEGIK, PERKUKUH PENYELARASAN DENGAN KERAJAAN PERSEKUTUAN

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, mengadakan pertemuan bersama YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Menteri Ekonomi, bagi membincangkan keutamaan pembangunan Johor serta penyelarasan projek strategik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor akan terus memperkukuh penyelarasan bersama Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan setiap projek strategik negeri di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) dapat dipercepatkan serta memenuhi keperluan semasa rakyat.
Antara keutamaan yang diberi perhatian meliputi jaringan jalan raya dan pengangkutan, perumahan, kesihatan, pendidikan, keselamatan serta pengurusan pesisir pantai dan sumber air.
Penyediaan infrastruktur bagi menyokong inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) turut menjadi antara perkara utama bagi meningkatkan daya saing Johor, menarik lebih banyak pelaburan serta membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada Bangsa Johor.
Kerajaan Negeri turut menekankan kepentingan untuk mempercepatkan projek yang masih berada pada peringkat pra-pelaksanaan menerusi penyelarasan lebih rapat antara agensi negeri dan Persekutuan.
Setiap proses perlu dipermudah manakala sebarang isu yang timbul perlu diselesaikan dengan segera supaya pelaksanaan projek berkenaan dapat dipercepatkan dan manfaatnya dapat dirasai Bangsa Johor.
Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan terus diperkukuh bagi memastikan agenda pembangunan Johor dapat bergerak seiring dengan pertumbuhan pesat negeri serta memberi manfaat nyata kepada rakyat.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, mengadakan pertemuan bersama YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Menteri Ekonomi, bagi membincangkan keutamaan pembangunan Johor serta penyelarasan projek strategik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
#JohorSafeZone#JohorHomeOfChampions
#ZonEkonomiKhasJohorSingapura
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


