SK YONG PENG, SMK YONG PENG JUARA CHORAL SPEAKING NEGERI JOHOR 2026

Pertandingan anjuran Yayasan JCorp dengan kerjasama JPNJ itu melibatkan 440 pelajar daripada 22 sekolah yang bertanding dalam persembahan berteraskan penguasaan bahasa Inggeris, kreativiti, vokal dan kerja berpasukan. | Foto Yayasan Johor Corporation
#IskandarPuteri – Sekolah Kebangsaan (SK) Yong Peng dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yong Peng, Batu Pahat mencatat sejarahnya yang tersendiri apabila masing-masing dinobatkan sebagai juara kategori sekolah rendah dan menengah dalam Pertandingan Choral Speaking Peringkat Negeri Johor 2026.
Pertandingan anjuran Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) itu menghimpunkan seramai 440 pelajar daripada 22 sekolah yang mewakili daerah masing-masing untuk bersaing menerusi persembahan menggabungkan penguasaan bahasa Inggeris, kreativiti, vokal dan kerja berpasukan.
Bagi kategori sekolah rendah pertandingan itu, SK (P) Sultan Ibrahim, Johor Bahru meraih tempat kedua dan SK Abdul Rahman Yassin, Kluang pula di tempat ketiga. Selain muncul juara pertandingan, SK Yong Peng turut meraih anugerah ‘Best Conductor’ bagi kategori tersebut.
Bagi kategori sekolah menengah pula, SMK Ungku Hussin, Mersing dan SMK Tinggi Kluang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga sementara anugerah ‘Best Conductor’ dimenangi Sekolah Menengah (SM) Sains Muar.
Kejayaan sekolah dipertandingan berkenaan bukan sahaja mencerminkan bakat pelajar dalam penguasaan bahasa dan persembahan, malah memperlihatkan kepentingan pembelajaran di luar bilik darjah dalam membina keyakinan diri, disiplin serta kebolehan bekerjasama untuk mencapai matlamat bersama.
Menerusi pertandingan bertemakan ‘United Voices, Resounding Peace and With Words We Break, With Words We Mend’ yang berlangsung di SJK (C) Chong Hwa, Kluang itu, Yayasan JCorp terus memberi ruang kepada generasi muda Johor untuk mengembangkan potensi diri mereka melalui pendidikan, kemahiran komunikasi dan aktiviti yang membentuk keyakinan diri.
#JohorSafeZone
#YayasanJCorp
#ChoralSpeaking
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


