3,790 UNIT RMMJ DITELITI UNTUK PEMBANGUNAN BAHARU

Secara keseluruhan, sehingga Mesyuarat PDRC Bil. 3/2026, sebanyak 190 projek RMMJ melibatkan 45,575 unit rumah telah dibentangkan dalam 37 sesi mesyuarat yang merangkumi 10 daerah, 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 152 pemaju. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#IskandarPuteri – Sebanyak 3,790 unit melibatkan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan Kedai Kos Sederhana menjadi antara cadangan pembangunan yang telah diteliti dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan, Penilaian dan Reka Bentuk (PDRC) Bil. 4/2026.
Antara projek yang diberi perhatian ialah RMMJ Taman Pulai Damai, Mukim Pulai, melibatkan 852 unit, dengan kerja awal bangunan dijadualkan bermula November 2026, tertakluk kepada penyelesaian ulasan keselamatan dan kelulusan berkaitan.
Di Bandar Seri Alam, Mukim Plentong, cadangan pembangunan melibatkan 2,371 unit RMMJ yang terdiri daripada 951 unit RMMJ C, 792 unit RMMJ C Plus dan 628 unit RMMJ D, selain 176 unit Kedai Kos Sederhana di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).
Bagi komponen RMMJ C Plus, cadangan penambahbaikan turut melibatkan unit berkeluasan 1,200 kaki persegi yang dilengkapi kabinet dapur, dapur gas dan hud, selain persediaan pendawaian penghawa dingin.
Di Bandar Baru Bakri, Muar pula, pembangunan yang dicadangkan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Muar (MPM) merangkumi 992 unit RMMJ, manakala cadangan penyelarasan di Kota Tinggi di bawah Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) melibatkan 53 unit RMMJ di Lot 489.
Sementara itu, di daerah Kulai pula, terdapat cadangan 104 unit rumah bandar dua tingkat di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), selain penyelarasan komponen RMMJ dan Kedai Kos Sederhana sebanyak 2,803 unit bagi pembangunan di Mukim Senai serta pindaan komponen RMMJ di Taman Mutiara Hijau.
Di Taman Perindustrian Ayer Hitam, Kluang, Majlis Perbandaran Kluang (MPK) turut meneliti cadangan pindaan 34 unit rumah pangsa kos rendah dan kos sederhana rendah kepada asrama pekerja susulan perubahan zon kepada industri.
Secara keseluruhan, sehingga Mesyuarat PDRC Bil. 3/2026, sebanyak 190 projek RMMJ melibatkan 45,575 unit rumah telah dibentangkan dalam 37 sesi mesyuarat yang merangkumi 10 daerah, 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 152 pemaju.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, mempengerusikan Mesyuarat PDRC Bil. 4/2026 bagi meneliti cadangan pembangunan serta penyelarasan projek perumahan negeri.
#JohorSafeZone
#RMMJ
#PerumahanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



