PENUTUPAN INSTITUSI PENDIDIKAN DI JOHOR DILANJUTKAN HINGGA 23 OKTOBER

Kenyataan media mengenai pelanjutan penutupan institusi pendidikan dikeluarkan oleh YB Dr. Muhammad Naqib Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, pada hari ini.
#IskandarPuteri – Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menitikberatkan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan Bangsa Johor, Kerajaan Negeri memutuskan untuk melanjutkan penutupan institusi pendidikan di seluruh Johor selama lima hari lagi, bermula 19 hingga 23 Oktober 2026, susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang masih membimbangkan tanpa perubahan ketara.
Keputusan itu dibuat susulan Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Jerebu Negeri Johor pada Sabtu dengan mengambil kira pergerakan angin ke arah utara, unjuran cuaca bagi tempoh tiga hingga empat hari akan datang serta penilaian kesihatan semasa sebelum keputusan mengenai pembukaan semula sekolah dibuat.
Dari sudut kesihatan awam, sebanyak 30,648 kes asma dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) direkodkan sepanjang Oktober 2026 dengan peningkatan mingguan sebanyak 20.7 peratus, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap risiko pendedahan berpanjangan kepada pencemaran udara, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan golongan berisiko.
Bagaimanapun, pengecualian terhad boleh dipertimbangkan bagi murid yang perlu menduduki peperiksaan atau pentaksiran tertentu, tertakluk kepada penyelarasan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ketat serta larangan mengadakan sebarang aktiviti tambahan.
JPNJ akan memperincikan SOP pelaksanaan selaras dengan ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), mendapatkan maklum balas terkini daripada Lembaga Peperiksaan serta menyelaras jadual peperiksaan dan pentaksiran antara sekolah di bawah KPM dengan sekolah agama Johor.
Sepanjang tempoh penutupan ini, kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan berpandukan Manual PdPR Versi 2.0 KPM, manakala pemakaian pelitup muka diwajibkan di samping pematuhan terhadap garis panduan kesihatan yang telah ditetapkan sebelum ini.
Bagi institusi pendidikan swasta dan pusat penjagaan kanak-kanak pula, keputusan untuk meneruskan operasi atau melaksanakan penutupan tertakluk kepada pertimbangan institusi masing-masing, dengan operasi dijalankan di kawasan tertutup serta pemakaian pelitup muka diwajibkan.
Sebarang perubahan ketetapan atau arahan lanjut berkaitan pengoperasian institusi pendidikan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi JPNJ dan Media Digital Johor (MDJ), manakala orang ramai disaran supaya hanya merujuk sumber rasmi bagi mengelakkan kekeliruan dan penyebaran maklumat tidak tepat.
Kerajaan Negeri menyedari bahawa penutupan berpanjangan akan memberi kesan kepada proses pembelajaran murid, tugas guru, pengurusan institusi pendidikan serta urusan harian ibu bapa dan penjaga, namun keselamatan dan kesihatan murid terus menjadi keutamaan.
Terdahulu, kenyataan media mengenai pelanjutan penutupan institusi pendidikan itu dikeluarkan oleh YB Dr. Muhammad Naqib Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, pada hari ini.
#JohorSafeZone
#JerebuJohor
#PendidikanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



