PROJEK LAMPU JALAN PINTAS BANDAR PUTRA KULAI SIAP SEPENUHNYA

Pemasangan lampu solar mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Johor dalam meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya. | Foto Majlis Perbandaran Kulai
#Kulai – Laluan sepanjang kira-kira 2.1 kilometer dari Jalan Pintasan Bandar Putra ke Taman Cantik kini dilengkapi pencahayaan lebih baik susulan projek pemasangan lampu jalan solar yang siap sepenuhnya, sekali gus meningkatkan keselamatan dan keselesaan kepasa pengguna jalan raya di laluan berkenaan.
Projek di bawah seliaan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) itu melibatkan kerja-kerja membekal dan memasang 26 unit lampu solar LED berkuasa 120W serta 26 tiang lampu setinggi 10 meter.
Menerusi pelaksanaan projek ini, pencahayaan di sepanjang laluan berkenaan dapat ditambah baik, khususnya pada waktu malam, sekali gus membantu meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.
Dari segi pelaksanaan, projek yang bermula pada 6 Julai 2026 dan dijadualkan siap pada 25 Oktober 2026 itu telah mencapai kemajuan fizikal 100 peratus lebih awal daripada tarikh sasaran.
Dengan penyiapan projek ini, penduduk sekitar, khususnya warga Bukit Permai dan kawasan Kulai, dapat menikmati kemudahan pencahayaan yang lebih baik ketika menggunakan laluan berkenaan dalam urusan harian.
Pada masa sama, pemasangan lampu solar ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri Johor dalam menambah baik kemudahan infrastruktur jalan raya bagi menyediakan persekitaran perjalanan yang lebih selamat dan selesa kepada masyarakat.
#Kulai
#MPKulai
#InfrastrukturJohor
#MediaDigitalJohor
#BangsaJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


