53 HARI DILANDA JEREBU, JOHOR ULANGI GESAAN MESYUARAT TERGEMPAR ASEAN

Gesaan itu dibangkitkan dalam mesyuarat penyelarasan bencana peringkat negeri yang dipengerusikan YAB, Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, susulan beberapa kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor mengulangi gesaan agar negara-negara ASEAN mengadakan mesyuarat tergempar bagi memperkukuh tindakan bersama dalam menangani jerebu rentas sempadan yang menjejaskan negeri ini selama 53 hari sejak 25 Ogos lalu.
Gesaan itu dibangkitkan dalam mesyuarat penyelarasan bencana peringkat negeri yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, susulan keadaan jerebu yang membimbangkan apabila beberapa kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat.
Berdasarkan maklumat Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) yang diterima, sebanyak 453 titik panas dikesan di Kalimantan dan 153 di Sumatera, Indonesia, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap risiko kebakaran serta pergerakan asap merentasi sempadan.
Justeru, Kerajaan Negeri menekankan keperluan tindakan serantau yang lebih aktif, khususnya dalam aspek pengawalan kebakaran, pemantauan titik panas dan pencegahan kebakaran bagi mengurangkan risiko jerebu berulang pada masa hadapan.
Kerjasama antara negara anggota ASEAN turut penting bagi menyelaraskan usaha pencegahan dan tindak balas berdasarkan kepakaran, aset serta keupayaan yang tersedia, mengikut keperluan dan persetujuan bersama.
Minggu lalu, Dato’ Onn Hafiz turut menggesa ASEAN supaya mengadakan mesyuarat tergempar ketika menerima kunjungan YTH Bapak Sigit Suryantoro Widiyanto, Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, bagi membincangkan keadaan jerebu dan kesannya terhadap kesihatan rakyat serta kualiti udara di negeri ini.
Kerajaan Negeri turut menekankan kepentingan pendekatan bersama dalam menangani punca jerebu tanpa menuding jari terhadap mana-mana pihak, memandangkan pencemaran udara berkenaan telah memberi kesan merentasi sempadan negara.
Setakat jam 8 malam tadi, keadaan kualiti udara di Johor masih belum menunjukkan perubahan ketara apabila kesemua lapan stesen pemantauan merekodkan bacaan IPU dalam kategori Tidak Sihat.
#JohorSafeZone
#JerebuRentasSempadan
#ASEAN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



