JKM JOHOR LAKSANA PROGRAM BAGI PERLINDUNGAN KANAK-KANAK


Program latihan ‘Child Support Team Johor’ menggunakan Modul Lindungi Permata Johor Tahun 2023 telah melibatkan individu serta ahli komuniti yang terlibat dalam mengendalikan kes-kes perlindungan kanak-kanak di negeri Johor | Foto Ihsan, FB JKM Negeri Johor – JKMNJ.

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor (JKMNJ) telah melaksanakan program latihan kepada ‘Child Support Team Johor’ dengan menggunakan Modul Lindungi Permata Johor Tahun 2023, baru-baru ini.

 

Menurut kenyataan JKMNJ, modul berkenaan dibangunkan melalui kerjasama antara pihaknya dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

 

Katanya, ia merupakan inisiatif Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail yang bertujuan untuk meningkatkan latihan dan kemahiran individu yang terlibat dalam mengendalikan kes-kes perlindungan kanak-kanak di negeri Johor.

 

“Program latihan yang bersasar ini akan dilaksanakan membabitkan lapan siri dan melibatkan individu serta ahli komuniti seperti pemimpin tempatan, sukarelawan kebajikan, pengendali pertubuhan sukarela kebajikan kanak-kanak.

 

“Selain itu, ia juga akan pengasuh TASKA berdaftar, ahli Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak, ahli Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak, serta Pembantu Pelindung yang telah diwartakan di Negeri Johor dan mereka yang mempunyai keterlibatan rapat dengan kanak-kanak,” jelas kenyataan JKMNJ di Facebook rasminya.

 

Terdahulu, siri pertama program latihan telah berlangsung pada 15 Mei 2023 hingga 17 Mei 2023, dengan melibatkan 38 orang peserta.

 

Antara objektif utama program itu memberi latihan kepada individu atau sukarelawan yang bekerja dengan kanak-kanak untuk meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan komitmen dalam menguruskan kanak-kanak yang memerlukan perlindungan.

 

“Program ini juga bertujuan memberikan pengetahuan tentang perkembangan kanak-kanak dan budaya mereka serta memberi kemahiran dalam membantu mengakses masalah kanak-kanak dan dokumen yang berkaitan.

 

“Ia juga bertujuan melindungi hak kanak-kanak daripada segala bentuk bahaya, termasuk eksploitasi, diskriminasi dan penderaan dengan menjamin perkembangan yang sihat dalam aspek fizikal, sosial, emosi dan mental selaras dengan Dasar Kanak-Kanak Negara,” jelas kenyataan itu lagi.

 

JKMNJ berharap pelaksanaan Program Latihan ‘Child Support Team Johor’ menggunakan Modul Lindungi Permata Johor itu memberi kesan positif kepada individu dan ahli komuniti yang terlibat membantu menguruskan kes kanak-kanak yang mengalami penderaan dan pengabaian.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor