KEM BERBASIKAL TREK DAN BMX JOHOR CIPTA KEJAYAAN DI BUMI NILAI


Lima emas buat kem Johor disumbang menerusi acara pecut berpasukan remaja wanita, pecut berpasukan elit lelaki, kejar mengejar berpasukan remaja lelaki, ‘point race remaja’ wanita dan ‘scratch race’ remaja wanita. | Foto ihsan FB Majlis Sukan Negeri Johor

 

ISKANDAR PUTERI — Skuad berbasikal trek Negeri Johor berjaya meraih lima pingat emas, 11 pingat perak dan 10 pingat gangsa pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan, minggu lalu.

 

Lima emas buat kem Johor disumbang menerusi acara pecut berpasukan remaja wanita, pecut berpasukan elit lelaki, kejar mengejar berpasukan remaja lelaki, ‘point race remaja’ wanita dan ‘scratch race’ remaja wanita.

 

Ketua Jurulatih Berbasikal Johor, Junaidi Mohd Nasir, berkata komitmen 100% yang diberikan oleh barisan kejurulatihan dan pelumba telah membuahkan hasil.

 

“Barisan kejurulatihan negeri dan Pusat Latihan Daerah (PLD) yang memberikan komitmen 100% bagi memastikan nama Johor dijulang dalam arena berbasikal amat saya hargai.

 

“Semua pelumba Johor telah berlumba dengan semangat juang yang tinggi demi memartabat nama Johor di persada arena sukan berbasikal negara,” katanya.

 

Junaidi turut menzahirkan penghargaan kepada Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan Persatuan Basikal Negeri Johor (PBNJ) yang sentiasa turun padang memberi sokongan kepada pasukan bimbingannya.

 

“Terima kasih kepada Presiden PBNJ dan juga pihak MSNJ yang telah menyediakan segala kemudahan buat pasukan dan mengatur program-program latihan untuk pasukan,” tambahnya.

 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Johor, Mohd Hairi Md Shah turut mengucapkan tahniah kepada skuad berbasikal trek Johor menerusi hantaran di laman Facebooknya.

 

“Saya mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada semua atlet Johor yang terlibat dalam Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2023 dan Kejohanan Helaz BMX Siri 2 baru-baru ini.”

 

Selain itu, Pasukan BMX Johor juga berjaya mengutip enam pingat emas, empat pingat perak dan empat pingat gangsa di dalam Kejohanan Helaz BMX Siri 2 yang berlangsung pada minggu lalu di Arena BMX Nilai.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor