JOHOR HIMPUN 2,389 PENGGIAT KULINARI DI KEJOHANAN CEF DUNIA 2026

Seramai 2,389 peserta dari lebih 42 negara menyertai Kejohanan Cef Dunia (WCC) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru selama tiga hari bermula semalam, sekali gus mengiktiraf Johor sebagai hab kulinari antarabangsa dan hos acara bertaraf dunia buat kali kelima menerusi penganjuran bersama Tourism Johor dan Persatuan Juara Juru Masak Malaysia (MCMA). | Foto Tourism Johor
#IskandarPuteri – Seramai 2,389 peserta dari lebih 42 negara berhimpun di Johor bagi menyertai Kejohanan Cef Dunia (WCC) 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru selama tiga hari bermula semalam sekali gus menjadikan negeri ini tumpuan dunia dalam industri kulinari antarabangsa.
Kejohanan anjuran bersama Tourism Johor dan Persatuan Juara Juru Masak Malaysia (MCMA) itu turut menjadi pengiktirafan besar terhadap kemampuan Johor sebagai hos kepada acara bertaraf dunia apabila negeri ini dipilih menjadi lokasi penganjuran buat kali kelima.
Antara negara yang mengambil bahagian pada WCC 2026 kali ini termasuk Malaysia, Singapura, China, Hong Kong, Taiwan, Amerika Syarikat, Australia dan India dengan lebih 146 kategori pertandingan dipertandingkan melibatkan masakan tradisional, bakeri, makanan jalanan, fusion, barista serta seni penyajian makanan.
Penganjuran WCC 2026 turut melakar sejarah apabila Persatuan Juara Juru Masak Malaysia menerima pengiktirafan ASEAN Records dan ASIA Records bagi kategori ‘Largest Recurring International Culinary Championship by Participating Countries, Competing Chefs and Judges’ melibatkan 42 negara peserta, 2,389 chef bertanding, 71 hakim, 146 kategori pertandingan serta edisi penganjuran kelima pada tahun 2026.
Dalam pada itu, Yayasan JCorp selaku rakan strategik Visit Johor 2026 dan WCC 2026 turut menerima pengiktirafan ASEAN Records menerusi pencapaian ‘The Longest Lines of Laksa Johor’ selepas berjaya menghasilkan 1,200 mangkuk Laksa Johor sepanjang 108 meter melibatkan 30 cef.
Kehadiran cef terkenal dunia, Martin Yan yang popular menerusi rancangan ‘Yan Can Cook’ turut menjadi antara tarikan utama kejohanan kali ini sekali gus membantu memperkukuhkan promosi Tahun Melawat Johor 2026 di peringkat global.
Penganjuran WCC 2026 dilihat bukan sahaja memperkasa sektor pelancongan gastronomi Johor, malah membuka peluang kepada cef tempatan meningkatkan kemahiran dan jaringan antarabangsa melalui pertukaran kepakaran kulinari bersama peserta dari seluruh dunia.
Terdahulu, YBhg. Encik Mohammad Nazrul Abd. Rahim, Pengarah Tourism Johor diiringi YB Dato’ Mizan Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp hadir menyempurnakan Majlis Perasmian WCC 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, pada Khamis.
#JohorSafeZone
#VisitJohor2026
#WorldChefsChampionship2026
#MehLahJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


