JOYDEC DIHARAP LAKSANA PROGRAM SELARI KEHENDAK SEMASA


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah mempengerusikan mesyuarat bersama kakitangan JOYDEC, baru-baru ini. | Foto ihsan Facebook Hairi Md Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor berharap Pusat Pembangunan Belia Johor (JOYDEC) dapat melaksanakan pengisian dan program mengikut kesesuaian semasa.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, pengisian dan program itu juga mengikut keperluan dan trend belia masa kini.

 

“Justeru, dalam masa terdekat saya meminta JOYDEC untuk adakan bengkel/retreat bagi mengkaji, melihat keberkesanan program-program dilaksanakan, termasuk mengikut kesesuaian belia di daerah-daerah,” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Rabu.

 

Terdahulu, Mohd Hairi mempengerusikan mesyuarat bersama kakitangan JOYDEC dari semua daerah di negeri ini.

 

Beliau menzahirkan harapan berlakunya pembaharuan aspek pemerkasaan program dan aktiviti dalam kalangan belia berdasarkan mesyuarat berkenaan.

 

“Saya juga mendengar permasalahan dikongsikan daripada kakitangan JOYDEC Daerah khususnya mengenai cabaran dalam memperkasa ke arah menarik golongan belia menyertai program-program dianjurkan,” katanya.

 

Sebelum itu, Mohd Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin turut telah mempengerusikan perbincangan mengenai tiga program penting untuk Orang Muda Johor.

 

Tiga program tersebut adalah Anugerah Perdana Belia Negara (APBN), Hari Belia Negara (HBN) dan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Johor bagi tahun 2023.

 

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Dato’ ‘On Jabbar; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, Shamsuhaime Basir serta Presiden Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ), Aznan Tamin.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor